fbpx
AZEEM

Sub-10 dalam jangkauan Azeem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BEKAS jurulatih pelari pecut negara, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah percaya Muhammad Azeem Fahmi berada di landasan tepat untuk memecahkan catatan bawah 10 saat (s) dalam acara 100 meter (m) dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi.

Amir yang melatih Azeem sejak usia 14 tahun yakin peningkatan prestasi semasa, termasuk konsistensi dalam acara pecut menunjukkan potensi besar pelari berusia 21 tahun itu untuk mencapai tahap elit dunia.

“Berdasarkan prestasi semasa dan apa yang saya lihat pada teknik lariannya, masih ada ruang untuk diperbaiki. Kalau penambahbaikan itu berlaku, saya percaya tahun ini atau tahun depan dia mampu melakukan catatan bawah 10 saat,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.

Menurut Amir, tempoh tiga tahun pertama Azeem di Amerika Syarikat selepas menyambung pengajian pada 2023 merupakan fasa penyesuaian penting terhadap kaedah latihan dan persekitaran baharu.

“Dia perlu masa untuk menyesuaikan diri dengan kaedah latihan berbeza. Tempoh itu sebenarnya proses pembelajaran dan pendedahan kepada persaingan antarabangsa yang lebih luas,” jelasnya.

Azeem bakal menamatkan pengajian tahun ini sebelum memberi tumpuan kepada kempen utama termasuk Sukan Asia Aichi-Nagoya di Jepun pada September.

Amir yang pernah membawa Azeem mencipta rekod kebangsaan 10.09s pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun 2022 di Cali, Colombia menegaskan keyakinannya terhadap kemampuan anak didiknya itu tidak pernah berubah.

“Saya yakin dengan dia kerana pernah melatihnya selama beberapa tahun. Potensi itu memang ada dan bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Amir hadir pada sesi temu duga penstrukturan semula barisan jurulatih kebangsaan dan berharap kontraknya sebagai jurulatih pelapis negara disambung.

“Saya berharap dapat terus menyumbang kepada pembangunan pelari pecut negara, khususnya dalam menyediakan sistem latihan yang lebih tersusun dan berpusat,” katanya.

Amir turut menambah, Malaysia tidak ketandusan bakat pecut, namun platform pembangunan yang sistematik amat penting bagi memastikan lebih ramai atlet mampu menyaingi pencapaian Azeem di pentas antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN