SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan (KPM) komited mengadakan sesi libat urus bersama pengusaha-pengusaha tadika swasta dalam membincangkan isu-isu yang dihadapi mereka susulan pelaksanaan kemasukan murid enam tahun ke Tahun Satu pada 2027.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sudahpun mengadakan perbincangan strategi pelaksanaan tersebut dan berusaha membantu pihak berkenaan dalam mencari solusi terbaik bagi menangani permasalahan yang berbangkit.
Menurutnya, pihak pengusaha tadika itu juga telah mendukong agenda pendidikan baharu itu sekali gus memberi maklum balas yang memberangsangkan.
“Sebenarnya, dalam isu ini (pengusaha tadika) semua mereka mendukong keputusan ini (anak enam tahun ke Tahun Satu). Cuma ada beberapa perkara yang sedang kita bincangkan untuk terus membantu mereka pula.
“Jadi, saya ingat penting untuk kementerian juga melihat isu-isu yang dibangkitkan oleh mereka, kebimbangan-kebimbangan mereka untuk kita sama-sama cari jalan yang terbaik,” katanya, hari ini.
Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal hadir pada Majlis Serahan Smartboard Prasekolah dan Flag Off Susu Percuma Farm Fresh Peringkat Kebangsaan Bagi Tahun 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tasek Mutiara, Nibong Tebal di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Kosmo! melaporkan keputusan kerajaan yang memulakan persekolahan seawal usia enam tahun akan menjejaskan institusi tadika dengan kerugian ratusan juta ringgit daripada yuran.
Dianggarkan hampir 500,000 kanak-kanak enam tahun akan memasuki darjah satu lebih awal, sekali gus menjadikan tadika tidak akan mempunyai murid pada usia itu tahun depan.
Jika yuran setiap murid tadika secara puratanya RM1,500 setahun tidak termasuk perkhidmatan penjagaan harian, pengusaha tadika akan kehilangan RM750 juta dengan pelaksanaan keputusan itu.
Dalam pada itu, Fadhlina menambah, pihaknya akan melaksanakan penyelarasan bersama dengan pihak-pihak berkenaan supaya perkara yang berbangkit dapat diselesaikan. -KOSMO! ONLINE














