DHAKA – Rakyat Bangladesh keluar mengundi hari ini dalam pilihan raya pertama sejak kebangkitan berdarah 2024, dengan parti-parti yang dihancurkan semasa pemerintahan Sheikh Hasina kembali bertanding menentang gabungan pimpinan Islamis.
Orang ramai berbaris panjang di luar pusat mengundi di ibu negara Dhaka ketika pengundian dalam pilihan raya yang sangat dinanti-nantikan itu dibuka pagi tadi. Negara Asia Selatan itu mempunyai 170 juta penduduk.
Lebih 300,000 anggota tentera dan polis turut dikerah di seluruh negara. Menjelang pengundian, pakar-pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) memberi amaran tentang ‘peningkatan ketidak toleransi, ancaman dan serangan di samping ‘tsunami maklumat salah’, terutamanya menyasarkan jutaan pengundi muda.
“Saya mengundi pada 1991 dan hari ini selepas bertahun-tahun, saya membuang undi di sini,” kata Nur Alam Shamim, 50, yang merupakan pengundi pertama di New Model Degree College, kawasan parlimen Dhaka-10.
Calon perdana menteri utama, Tarique Rahman, 60, yakin Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) pimpinannya berupaya merampas kembali kuasa, namun beliau berdepan cabaran sengit daripada parti Islamis terbesar di negara majoriti Muslim itu, Jamaat‑e‑Islami.
Ketua Jamaat, Shafiqur Rahman, 67, melancarkan kempen akar umbi yang berdisiplin, dan jika menang, bekas tahanan politik itu boleh memimpin kerajaan seumpamanya yang pertama di Bangladesh.
“Hari ini sangat penting. Ia akan menentukan hala tuju dan masa depan negara ini,” kata pemimpin interim Muhammad Yunus yang akan meletak jawatan sebaik sahaja kerajaan baharu mengambil alih kuasa.
Pemenang Hadiah Nobel Keamanan berusia 85 tahun itu memimpin Bangladesh selepas 15 tahun pemerintahan Sheikh Hasina berakhir dengan penyingkirannya pada Ogos 2024.
Pentadbiran Muhammad Yunus telah melarang Liga Awami pimpinan Sheikh Hasina daripada bertanding dalam pilihan raya ini.
Sheikh Hasina, 78, dijatuhi hukuman mati tanpa kehadirannya atas jenayah kemanusiaan kerana tindakan berdarah terhadap penunjuk perasaan semasa bulan-bulan terakhir dia berkuasa. Dia masih bersembunyi di negara jiran, India.
Yunus juga memperjuangkan piagam pembaharuan demokrasi menyeluruh untuk merombak apa yang beliau sebut sebagai sistem kerajaan yang rosak dan untuk mencegah Bangladesh kembali kepada pemerintahan satu parti.
Seramai 127 juta pengundi juga akan memutuskan dalam satu referendum sama ada untuk menyokong cadangan had penggal perdana menteri, dewan atas parlimen baharu, kuasa presiden yang lebih kuat, dan kebebasan kehakiman yang lebih besar.
Pengundi akan memilih 300 ahli parlimen secara langsung, dengan tambahan 50 wanita dipilih daripada senarai parti.
Pengiraan secara manual bermula selepas pusat mengundi ditutup pada jam 4. 30 petang (waktu tempatan). Keputusan dalam pilihan raya lalu diketahui beberapa jam kemudian, namun pengiraan kali ini juga termasuk undi referendum. – AGENSI














