PUTRAJAYA- Ketua Pengarah dan pengarah sebuah jabatan kerajaan direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana berjumlah RM900,000.
Perintah reman itu dibenarkan Majistret Ezrene Zakariah bermula hari ini sehingga 16 Februari ini terhadap kedua-dua suspek selepas permohonan dibuat pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.
Menurut SPRM, dua lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu ditahan pada pukul 1 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini.
Kedua-dua suspek dipercayai menyalahgunakan kuasa dan kedudukan masing-masing pada 2024 dengan menggunakan peruntukan kewangan di tempat mereka bekerja berjumlah RM900,000 untuk kepentingan peribadi.
Mereka juga dipercayai mengemukakan tuntutan dan dokumen yang mengandungi butiran palsu berjumlah RM60,000 untuk menunaikan umrah ketika menghadiri urusan rasmi di Jeddah pada 29 Januari hingga 4 Februari tahun lalu.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki tidak menolak kemungkinan terdapat tangkapan susulan sekiranya mempunyai bukti dan keterangan tambahan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 serta kesalahan di bawah Kanun Keseksaan berkaitan pecah amanah dan salah guna harta. – KOSMO! ONLINE














