BUENOS AIRES – Anggota dan pegawai polis menuntut kenaikan gaji dan sokongan kesihatan mental di bandar Rosario yang dibelenggu jenayah, bertindak membakar tayar pada hari ketiga tunjuk perasaan semalam.
Bantahan berpunca daripada gelombang kes bunuh diri dalam pasukan polis di bandar itu.
Mereka menuntut gaji lebih tinggi dan lebih banyak sokongan psikologi ketika memerangi jenayah berkaitan dadah di Rosario, bandar ketiga paling ramai penduduk di Argentina. Rosario juga merupakan bandar kelahiran bintang bola sepak Lionel Messi.
Protes bermula Isnin lalu selepas seorang pegawai berusia 32 tahun mengambil nyawa sendiri pada minggu lepas, insiden terbaru dalam siri kematian seumpamanya di wilayah Santa Fe, tempat Rosario terletak.
Protes Isnin lepas berakhir dengan pergelutan antara kumpulan penunjuk perasaan dan rakan polis yang dihantar untuk menyuraikan mereka.
Semalam asap hitam naik ke udara daripadai tayar-tayar yang terbakar di luar ibu pejabat polis dengan konvoi kereta peronda dan motosikal polis membunyikan siren mereka.
Tiada angka rasmi mengenai bilangan kes bunuh diri polis di Santa Fe tetapi seorang penunjuk perasaan memegang papan tanda tertera nama kira-kira 20 nama pegawai yang telah mengambil nyawa sendiri atau meninggal dunia semasa menjalankan tugas.
Purata gaji bulanan anggota polis di Rosario adalah sekitar AS$600 (RM2,345).
Beberapa pegawai memberitahu AFP bahawa mereka terpaksa membayar sendiri untuk internet pejabat, uniform dan juga peluru.
“Tanpa gaji setimpal, tiada kesihatan mental,” demikian bunyi sepanduk yang diangkat oleh penunjuk perasaan lain.
Sementara itu, Gabenor Santa Fe, Maximiliano Pullaro mengumumkan bahawa ‘tuntutan polis telah didengari’.
Beliau menambah: “Saya ingin jelaskan bahawa tiada anggota polis di wilayah ini atau pegawai penjara yang akan menerima gaji kurang daripada AS$960(RM3,752).
Protes tersebut kemudian dibatalkan. – AFP














