GENEVA – Washington akan mula membuat pembayaran awal berhubung hutang tertunggak berjumlah berbilion-bilion dolar kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) ‘dalam masa beberapa minggu lagi’ kata Duta Amerika Syarikat ke PBB, Mike Waltz semalam.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres memberi amaran terakhir bulan lepas bahawa kegagalan negara-negara membayar yuran keahlian menyebabkan badan dunia itu di ambang kebangkarapan.
PBB berdepan masalah kewangan kronik kerana sesetengah negara anggota tidak membayar sumbangan wajib sepenuhnya, manakala yang lain tidak membayar tepat pada masanya, memaksa ia membekukan pengambilan pekerja dan membuat pemotongan peruntukan.
Pentadbiran Presiden Donald Trump pula memotong pembiayaan kepada beberapa agensi PBB sejak beberapa bulan lalu dan menolak atau menangguhkan sumbangan wajib lain.
Secara keseluruhan, Washington dilaporkan berhutang kepada PBB lebih AS$2 bilion(RM7.8 bilion) dalam yuran keahlian yang belum dibayar dan hampir jumlah sama untuk bajet berasingan bagi operasi tentera pengaman PBB.
Waltz memberitahu agensi berita Reuters hujung minggu bahawa Washington akan mula membayar yuran keahliannya yang tertunggak tidak lama lagi.
“Kami akan membayar yuran ini,” katanya di Geneva sambil menambah, wang akan mula dimasukkan dalam masa beberapa minggu lagi tanpa memberi butiran mengenai jumlahnya.
Seorang jurucakap PBB berkata awal minggu ini bahawa badan dunia itu menunggu untuk melihat dengan tepat bila pembayaran akan dibuat dan dalam jumlah yang akan dibayar. – AFP














