OTTAWA – Seorang pempengaruh media sosial dari Kanada mengundang perhatian orang ramai apabila memasak sup tulang menggunakan tulang rusuknya sendiri, yang telah dibuang semasa prosedur kosmetik, lapor akhbar Daily Star semalam.
Adea Danielle yang dikenali oleh pengikutnya sebagai Adea, berkongsi bahawa dia telah membuang beberapa tulang rusuknya untuk mendapatkan bentuk pinggang yang ramping.
Adea yang mempunyai 1.7 juta peminat di TikTok berkata, dia menyimpan tulang rusuknya yang disejuk beku selama enam bulan sebelum memutuskan untuk menggunakannya dalam sup.
Video yang menunjukkan dia merasa sup diperbuat daripada tulangnya sendiri dengan cepat menjadi tular, dengan mengumpul 16.8 juta tontonan dan 12,000 komen setakat ini.
“Mari kita buat sup tulang dengan tulang rusuk saya sendiri. Saya sudah enam bulan tidak membuka beg tulang rusuk ini,” kata Adea dalam video tersebut.
Dia kemudian merebus tulang dan membiarkannya mendidih.
“Serbuk tulang mempunyai banyak vitamin dan sangat baik untuk kesihatan usus. Rasanya seperti ayam,” kata Adea.
Video itu mencetuskan rasa terkejut dalam kalangan pengguna media sosial dengan ramai yang sukar mempercayai tindakan Adea.
“Tolong katakan ia tidak benar,” kata seorang netizen.
“Tulang rusuk manusia lebih besar daripada itu. Ia mungkin tulang haiwan,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














