BERAKSI dengan 10 pemain selama lebih 70 minit mematahkan impian Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mencuri mata berharga selepas tewas 1-2 kepada Sanfrecce Hiroshima dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) semalam.
Pengendali JDT, Xisco Munoz menganggap kad merah diterima tonggak pertahanan, Jonathan Silva menjejaskan rentak terutama ketika sudah mendahului 1-0 di awal saingan.
Menurut Munoz, kehilangan seorang pemain pada awal permainan memaksa barisan jurulatih merombak taktikal dalam usaha untuk mengimbangi kekuatan pasukan tuan rumah.
Munoz berkata, pujian tetap wajar diberikan kepada semua tonggak Harimau Selatan walaupun tidak mampu untuk membawa balik satu mata berharga daripada negara Matahari Terbit itu.
“Saya enggan salahkan mana-mana pemain terutama Silva yang dilayangkan kad merah pada awal permainan. Mungkin ia berlaku secara spontan dalam usaha menyelamat bola daripada masuk ke gawang.
“Selepas kehilangan seorang pemain dalam perlawanan itu, kita terpaksa ubah strategi permainan.
“Bukan mudah menentang lawan yang lengkap dengan 11 pemain hampir 80 minit sehingga memberi impak kepada pemain JDT yang terpaksa menggandakan mental dan fizikal untuk kekalkan momentum hingga wisel penamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE






