TEKA-TEKI mengenai masa depan pelumba negara, Syarifuddin Azman terjawab apabila mengesahkan tidak lagi bersama pasukan Honda Racing Malaysia bagi saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim 2026.
Pelumba berusia 24 tahun itu mendedahkan bahawa kontraknya yang tamat pada Disember 2025 tidak disambung susulan keputusan pihak pengurusan tertinggi Honda untuk mengecilkan operasi pasukan dalam kategori SuperSports 600cc.
Menurut Damok, keputusan itu agak mengecewakan memandangkan dia telah mempamerkan prestasi yang memberangsangkan dengan melakar dua kemenangan pada musim lalu, namun terpaksa akur dengan percaturan strategi pasukan.
“Musim ini agak mengecewakan apabila kontrak saya tamat pada penghujung tahun 2025. Agak sukar untuk saya kerana pihak Honda membuat keputusan untuk mengeluarkan (mengurangkan) satu jentera daripada kategori 600cc.
“Disebabkan itu, saya tidak dapat teruskan bersama Honda. Walaupun pengurus pasukan telah berusaha sedaya upaya untuk kekalkan saya, namun ini keputusan pihak atasan yang mahu menggunakan dua pelumba sahaja,” katanya.
Pada musim 2025, Damok menamatkan saingan di kedudukan ketujuh keseluruhan kategori SS600 dengan mengumpul 113 mata, malah cemerlang meraih dua kemenangan pada pusingan di Litar Antarabangsa Sepang.
Rakan sepasukan Damok, Helmi Azman di kedudukan keenam, manakala Khairul Idham Pawi (KIP) tempat ke-10 keseluruhan dengan mengumpul 98 mata.
Enggan terus meratapi nasib, bekas pelumba Moto3 itu kini sedang giat memburu pasukan baharu dan Honda telah memberi ‘lampu hijau’ untuknya mencari mana-mana pasukan lain.
Selain saingan Asia, Damok turut berhasrat kembali mewarnai saingan Kejuaraan Cub Prix Malaysia namun berdepan halangan berikutan peraturan penganjur yang menetapkan tempoh bertenang dua tahun bagi pelumba yang pulang daripada saingan Kejuaraan Dunia.
“Untuk Cub Prix, saya masih menunggu keputusan daripada pihak penganjur. Terdapat banyak tawaran daripada pasukan Cub Prix, tetapi kekangan status bekas pelumba bersaing di pentas dunia menjadi isu.
“Jika diikutkan, saya berlumba di Moto3 pada 2023 dan WSBK tahun lalu, jadi saya perlu tunggu dua tahun, sepatutnya 2026 saya sudah dibenarkan berlumba. Saya harap ada pertimbangan sewajarnya agar saya dapat bersaing tahun ini,” ujarnya.














