PETALING JAYA – Malaysia terus membuktikan keupayaan menjadi antara negara yang memiliki jalan raya berkualiti tinggi apabila tersenarai dalam kelompok 25 negara terbaik dunia dari segi kualiti, menurut penarafan antarabangsa terkini.
Berdasarkan Road Quality Score, Malaysia mencatat skor 5.3, setanding beberapa negara maju seperti Jerman, Finland dan Namibia, sekali gus meletakkan negara ini dalam liga sama dengan kuasa ekonomi global dari aspek infrastruktur pengangkutan darat.
Penarafan itu menyaksikan Singapura mendahului senarai dunia dengan skor 6.5, diikuti Belanda, Switzerland dan Jepun yang masing-masing mencatat skor 6.4.
Negara-negara Eropah dan Asia Timur terus menguasai kedudukan teratas, namun pencapaian Malaysia dianggap signifikan dalam kalangan negara membangun.
Pemerhati infrastruktur berpendapat, jaringan lebuh raya moden, penyelenggaraan berterusan serta pelaburan kerajaan dalam sistem pengangkutan pintar menjadi antara faktor utama yang melonjakkan kedudukan Malaysia.
“Jalan raya yang baik bukan sekadar menghubungkan bandar dan luar bandar, tetapi menjadi pemacu ekonomi, keselamatan pengguna serta kecekapan logistik negara,” kata seorang pengguna media sosial.
Dengan kedudukan ini, Malaysia dilihat berada di landasan tepat untuk terus memperkukuh sistem mobiliti negara, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi dan kualiti hidup rakyat, sejajar aspirasi menjadi negara berpendapatan tinggi.- KOSMO! ONLINE.














