KULAI – Empat individu ditahan selepas disyaki terlibat dalam sindiket pembotolan arak tiruan dalam dua serbuan di Taman Mewah dan Taman Senai Utama di sini, 3 Februari lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, dalam serbuan bermula pada pukul 2 petang itu, empat suspek yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan serta tiga individu termasuk seorang wanita warga Myanmar berusia antara 20 hingga 30 tahun.
Menurut beliau, serbuan itu turut melibatkan rampasan pelbagai jenis arak jika termasuk cukai bernilai RM1.5 juta.
“Keempat-empat suspek ditahan adalah pekerja yang terlibat dalam pembungkusan dan pengedaran arak kepada kedai-kedai runcit serta pembeli khususnya dalam kalangan warga asing yang bekerja di negeri ini sejak Ogos tahun lalu.
“Setiap botol dijual pada harga antara RM50 hingga RM60, menjadikannya agak murah dan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pembeli,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Senai, di sini hari ini.
Menurutnya, antara dirampas termasuklah tiga tong berisi 200 liter pati alkohol, tiga tong berisi antara 170 hingga 500 liter cecair arak tiruan telah dibancuh, 617 kotak arak pelbagai jenama, segulung pelekat kastam disyaki palsu serta satu tong berisi 7 liter pewarna perisa karamel.
“Selain arak dan bahan-bahan pembungkusan lain, polis turut merampas sebuah van bernilai anggaran RM80,000. Jumlah keseluruhan rampasan menerusi operasi ini bernilai RM1.67 juta.
“Kesemua suspek direman selama sembilan hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967; Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Ab. Rahaman turut menegaskan pihaknya akan mempergiat usaha membanteras kegiatan sindiket arak tiruan dengan melaksanakan operasi secara berterusan bagi mengekang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Dalang sindiket ini telah kita kenal pasti dan usaha mengesannya sedang dijalankan. Sekiranya perkara ini dibiarkan, ia dibimbangi boleh menjejaskan kesihatan peminumnya selain merugikan negara daripada sudut pungutan cukai,” katanya. – KOSMO! ONLINE














