SHAH ALAM – “Kawal emosi dan bertolak ansur selepas ini.”
Itu nasihat diberikan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman sebelum menjatuhkan denda RM100 terhadap seorang lelaki yang tular selepas membaling kon ke arah kenderaan lain serta mengeluarkan kata kesat di Plaza Tol Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), minggu lalu.
Hukuman itu diputuskan selepas tertuduh, K. Kanapathi, 35, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa. Tertuduh membayar denda itu.
Kanapathi yang merupakan pemandu lori didakwa telah berkelakuan kurang sopan dengan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang lelaki berusia 54 tahun, untuk mengaibkannya dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.
Perbuatan tersebut dilakukan di Plaza Tol LDP kira-kira pukul 5.25 petang, 7 Februari lalu seterusnya melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang boleh didenda RM100 sekiranya disabitkan kesalahan.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Khawarizmi Azfar memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Bagaimanapun, Peguam Muhamad Saifullah Muhamad Azmi dan M. Partiben dalam mitigasinya memohon anak hukuman ringan susulan anak guamnya mempunyai tanggungan termasuk dua anak yang masih kecil selain merupakan kesalahan pertama.
“Tindakan tertuduh itu disebabkan perbuatan pengadu yang menunjukkan jari tengah ketika kejadian berlaku. Namun, anak guam kami berjanji lebih berhati-hati pada masa hadapan,” jelasnya.
Terdahulu, insiden itu tular selepas polis mengesan satu hantaran video di Facebook bertajuk ‘Pemandu Axia Naik Hantu Baling Kon di Plaza Tol Petaling Jaya LDP’ pada Sabtu lalu.
Pemandu kenderaan itu kemudiannya menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya kira-kira pukul 11 pagi, semalam.
Siasatan mendapati punca kejadian adalah salah faham di jalan raya semasa suspek cuba memasuki lorong Touch ‘n Go dan hampir bergesel dengan kereta Perodua Myvi tersebut. – KOSMO! ONLINE














