SEBERANG PERAI – Reman terhadap dua kenalan lelaki kepada seorang ibu tunggal yang mati dibunuh di kediamannya di Flat Sri Murni, Butterworth di sini Rabu lalu, disambung lagi lima hari, bermula hari ini.
Perintah reman ke atas kedua-dua lelaki tempatan berusia 40 dan 45 tahun itu dijalankan hingga 16 Februari ini, manakala seorang lelaki etnik Rohingya berumur 38 tahun pula dilanjutkan selama dua hari.
Permohonan reman itu dikeluarkan Majistret Balqis Roslin bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, ketiga-tiga suspek yang mengenakan baju lokap berwarna jingga tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Butterworth, kira-kira pukul 11 pagi tadi dalam keadaan tangan dan kaki bergari selain diiringi pihak polis.
Sebelum ini, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail dilaporkan berkata, polis tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan wanita yang juga pemandu van sekolah itu dipercayai angkara perasaan cemburu suspek terhadap mangsa.
Dalam kejadian Rabu minggu lalu, mayat mangsa berusia 41 tahun itu ditemukan dalam keadaan terbaring dalam sebuah bilik tidur dengan kesan luka kelar pada lehernya dipercayai dibunuh menggunakan senjata tajam. – KOSMO! ONLINE














