MELAKA – Pemandu Perodua Myvi yang merempuh lima kenderaan lain sehingga menyebabkan seorang bapa empat anak maut di persimpangan lampu isyarat Padang Jambu, di sini semalam direman selama empat hari bermula hari ini.
Perintah reman sehingga Sabtu ini dikeluarkan Majistret Uthman Abd. Ghani terhadap suspek berusia 35 tahun itu bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, nahas yang berlaku sekitar pukul 2 petang semalam membabitkan tiga buah motosikal jenis Honda EX5, Suzuki Raider R150 dan Yamaha Y15ZR serta tiga kereta iaitu Proton Saga, BMW X3 dan Perodua Myvi dipandu suspek.
Penunggang motosikal Honda EX5 yang dikenali sebagai Mohd. Shahrol Anuar Md. Roby, 44, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Mangsa dikatakan dalam perjalanan untuk mengambil anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pulang dari sekolah sebelum dirempuh Myvi berkenaan.
Dua lagi penunggang motosikal yang lain dan seorang pemandu Proton Saga turut mengalami kecederaan termasuk patah kaki kanan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati pemandu Perodua Myvi terbabit disyaki mengalami ‘microsleep’ sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh kenderaan yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing dan pernafasan terhadap pemandu berusia 35 tahun itu didapati negatif daripada pengaruh dadah dan alkohol. – KOSMO! ONLINE














