CANBERRA – Seorang warga emas di Australia berdepan detik cemas apabila dia dibelasah seekor kanggaru liar ketika cuba menyelamatkan anjing peliharaannya, lapor akhbar The Sun UK.
Mangsa dikenali sebagai Col berkata, dia terdengar anjing kesayangannya menyalak dengan kuat semasa menginap di rumah seorang rakan di negeri Victoria.
Col terkejut apabila melihat seekor kanggaru cuba melemaskan haiwan berusia tujuh tahun itu di sebuah empangan berhampiran.
“Kanggaru itu cuba menangkap (anjing saya), jadi saya mengambil sebatang kayu dan memukulnya,” kata Col.
Situasi bertambah cemas apabila kanggaru tersebut tiba-tiba keluar dari air dan mula menumbuk Col.
“Kanggaru itu keluar dari air seperti peluru dan menanduk wajah saya sebelum saya ditumbuk. Apabila saya cuba melarikan diri, ia melompat ke atas dan tangannya mencengkam kepala sambil menendang saya berulang kali,” kata Col.
Pertarungan tersebut berakhir apabila rakan Col menggunakan penyodok untuk menghalau haiwan itu.
Col mengalami kecederaan serius termasuk luka di bahagian perut dan badannya. Imbasan ultra bunyi mendedahkan bahawa luka tersebut sedalam 7.62 sentimeter.
Dia percaya bahawa baju yang dipakai semasa kejadian menghalangnya daripada mengalami kecederaan yang lebih teruk. – AGENSI














