fbpx
Gambar hiasan

Pemilik tahfiz Ittifaqiyah, MAIWP perlu bayar RM1.43 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan pemilik Tahfiz Darul Ittifaqiyah dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk membayar pampasan RM1.43 juta kepada 31 waris dan mangsa kebakaran.

Pampasan itu merangkumi ganti rugi nominal sebanyak RM30,000 bagi setiap plaintif serta ganti rugi teladan dan teruk berjumlah RM500,000 (secara global).

Selain pampasan tersebut, pemilik tahfiz, isterinya dan MAIWP yang dinamakan defendan pertama hingga ketiga diperintahkan membayar kos RM20,000 kepada setiap plaintif selain membenarkan pampasan RM10,000 (kos kesedihan) bagi 17 pelajar yang meninggal dunia dalam kebakaran itu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Dr. Suzana Muhamad Said dalam penghakiman ringkas berkata, beban pembuktian terletak pada plaintif iaitu 17 waris dan 14 bekas pelajar seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 101 Akta Keterangan dan keputusan mahkamah perlu berasaskan undang-undang serta bukti, bukan emosi.

Katanya, terdapat unsur kecuaian berkaitan aspek keselamatan bangunan yang melayakkan pampasan diberikan kepada waris dan mangsa terlibat, walaupun tidak semua tuntutan dibenarkan kerana kekurangan bukti.

“Mahkamah turut mendapati kebakaran yang menyebabkan kematian dan kecederaan itu tidak dipertikaikan, namun isu utama ialah pihak yang bertanggungjawab dari sudut undang-undang.

“Selain itu, mahkamah ini tidak boleh dengan sewenangnya membuat keputusan berdasarkan emosi dan kesesuaian tetapi berpaksikan undang-undang sedia ada.

“Mahkamah mendapati terdapat tuntutan atas kematian dalam kes ini dan ia merupakan pampasan, namun begitu tidak semua tuntutan ini dibenarkan,” katanya.

Selain itu, mahkamah memutuskan tuntutan berkaitan wang derma awam tidak dibenarkan selepas mendapati tiada bukti jelas dana berkenaan bertujuan diagihkan kepada plaintif, selain ia dimasukkan ke dalam akaun persendirian (pusat tahfiz).

“Tidak dapat dibuktikan wang yang masuk tersebut adalah bertujuan untuk pembahagian kepada plaintif. Tambahan ia telah dimasukkan ke dalam akaun persendirian. Tuntutan untuk wang tersebut adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Bagaimanapun peguam mewakili kesemua plaintif, Mohaji Selamat memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Dalam prosiding itu, peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhayar mewakili pemilik pusat tahfiz, Mohd. Zahid Mahmood dan isteri, Samsurini Mohd Anuwi manakala peguam Fakhrul Azman Abu Hassan mewakili MAIWP.

Pada Jun 2018, kesemua plaintif memfailkan saman itu terhadap pasangan suami isteri tersebut dan MAIWP selaku defendan pertama hingga ketiga.

Mereka mendakwa pasangan suami isteri dan MAIWP melakukan kecuaian sehingga menyebabkan sebahagian pelajar pusat tahfiz berkenaan menjadi mangsa kebakaran dan tidak dapat menyelamatkan diri semasa berlakunya kebakaran pada 14 September 2017.

Pada 21 Mac 2024, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara terhadap seorang lelaki berumur 22 tahun yang diperintahkan ditahan di penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, selepas disabitkan atas kesalahan membunuh 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah dalam kebakaran pada 2017.

Pada 17 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi mendapati pemuda itu bersalah atas kesalahan membunuh dan memerintahkan dia ditahan di penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong. Lelaki itu berumur 16 tahun ketika melakukan kesalahan terbabit. Rayuan pemuda itu turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 11 September 2023. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN