MELAKA – Sebanyak 16 jenis barangan termasuk empat jenis sayur tambahan dikawal di bawah pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026 yang berkuat kuasa mulai 13 hingga 21 Februari ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, skim itu dilaksanakan selama sembilan hari meliputi empat hari sebelum perayaan, sehari pada hari perayaan dan empat selepas perayaan.
Menurutnya, jumlah barangan yang dikawal berbeza mengikut negeri iaitu 16 barangan di Sarawak serta Semenanjung Malaysia, 15 barangan di Sabah dan 14 barangan di Wilayah Persekutuan Labuan.
“Bagi skim kali ini, empat barangan tambahan dikawal di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu sawi pendek atau sawi Jepun, cili merah, bawang kuning besar dan bawang merah besar.
“Tempoh pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2026 kali ini adalah suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga yang mana pengguna dapat menikmati harga berpatutan dan peniaga tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2026 dan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Tahun Baharu Cina 2026 di Taman Pandan Mawar, di sini, hari ini.
Tambahnya, SHMMP tahun Baharu Cina 2026 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Mengulas lanjut beliau berkata, pegawai dan penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan ditugaskan di lokasi-lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah.
“Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.
“Sempena dengan perayaan ini juga, KPDN melaksanakan beberapa program khusus yang terkait dengan ikhtiar kos sara hidup antaranya Program Jualan Rahmad Madani (PJRM) Tahun Baharu Cina bermula 3 hingga 17 Februari melibatkan 920 PJRM di seluruh negara,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE














