PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa menggantung tugas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bagi membolehkan satu siasatan menyeluruh dijalankan berhubung isu pemilikan saham yang didakwa melanggar peraturan penjawat awam.
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam satu kenyataan media hari ini mendakwa laporan media antarabangsa Bloomberg telah mendedahkan pemilikan 17.7 juta saham oleh Azam Baki dalam sebuah syarikat senaraian awam, Velocity Capital Partners Berhad, dengan nilai dianggarkan sekitar RM800,000 berdasarkan harga semasa.
Menurut laporan tersebut, pemilikan saham berkenaan didakwa bercanggah dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2002 yang menetapkan had pemilikan saham penjawat awam tidak melebihi RM100,000 dalam mana-mana syarikat.
“Tindakan berikut wajar diambil segera oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar
Ibrahim, iaitu menggantung tugas Tan Sri Azam Baki dengan serta-merta supaya satu siasatan menyeluruh boleh dibuat berhubung tuduhan salah laku (pemilikan saham melebihi RM100 000),” katanya.
Rafizi berkata, isu berkenaan bukan sahaja melibatkan pelanggaran peraturan pentadbiran, malah menyentuh soal integriti dan kewibawaan SPRM sebagai institusi utama membanteras rasuah .
Katanya, pendedahan itu turut mengaitkan Velocity Capital Partners Berhad dengan beberapa urus niaga melibatkan syarikat tersenarai lain serta individu yang pernah dikaitkan dengan kontrak kerajaan bernilai berbilion ringgit.
“Keadaan ini mewujudkan persepsi konflik kepentingan yang serius, apatah lagi apabila ia melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri,” katanya.
Beliau menegaskan, penggantungan tugas Azam Baki perlu dilakukan segera bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara bebas, telus dan tanpa sebarang campur tangan.
Selain itu, Rafizi turut menggesa supaya satu semakan menyeluruh terhadap pemilikan harta Azam Baki dilakukan bagi menjelaskan sumber kewangan yang membolehkan pemilikan saham dalam jumlah besar itu.
Dalam masa sama, Perdana Menteri juga diminta memastikan sama ada wujud penglibatan langsung atau tidak langsung Azam Baki dalam mana-mana urus niaga membabitkan syarikat yang menerima perolehan awam.
Tegas Rafizi, kegagalan kerajaan bertindak tegas dalam isu ini boleh menjejaskan keyakinan rakyat serta pandangan masyarakat antarabangsa terhadap komitmen Malaysia dalam memerangi rasuah.
Beliau berkata, sebarang kelewatan membuat keputusan hanya akan mengundang lebih banyak persoalan dan spekulasi terhadap pentadbiran kerajaan ketika ini. – KOSMO! ONLINE














