fbpx
Mohd. Khalid pada sidang akhbar berhubung kejayaan Op Bugil dan Op Shutter di Bukit Aman, hari ini. Foto oleh MOHD. FARIZWAN HASBULLAH / KOSMO!

Sindiket ‘online sextortion’ tumpas, kerugian lebih RM3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu sindiket jenayah terancang yang terlibat dalam kegiatan pemerasan seksual secara dalam talian atau ‘online sextortion’ menerusi Op Bugil baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, kejayaan itu hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor.

Menurut beliau, sindiket tersebut diketuai seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun dan dianggotai seramai 11 individu berumur antara 18 hingga 37 tahun.

“Sindiket ini mula aktif sejak tahun 2024 dan berdasarkan laporan polis yang diterima di seluruh negara, kerugian mangsa dianggarkan melebihi RM3 juta,” katanya pada sidang akhbar berhubung kejayaan Op Bugil dan Op Shutter di sini, hari ini.

Mohd. Khalid berkata, modus operandi sindiket adalah dengan mencipta akaun media sosial palsu dan menyamar sebagai wanita menarik bagi memperdaya mangsa supaya melakukan panggilan video lucah.

Katanya, dalam masa yang sama mangsa turut dihantar pautan phishing bagi tujuan menggodam data telefon bimbit mereka.

“Rakaman video lucah mangsa kemudiannya digunakan sebagai bahan ugutan untuk memeras wang secara berperingkat.

“Mangsa yang berada dalam keadaan takut dan tertekan akan memindahkan wang ke akaun sindiket sebagaimana diarahkan,” ujarnya.

Beliau berkata, sindiket berkenaan turut terlibat dalam aktiviti eksploitasi dan pemerdagangan orang dengan merekrut pekerja tempatan termasuk individu bawah umur melalui tawaran gaji antara RM2,200 hingga RM4,000 sebulan.

“Selepas dilatih, mangsa ditawarkan pekerjaan di luar negara dengan gaji sehingga mencecah AS$2,500.

“Mangsa dipaksa bekerja sehingga 12 jam sehari, dikawal pergerakan, dirampas dokumen pengenalan serta didera secara fizikal dan seksual sekiranya enggan menurut arahan,” katanya.

Tambah beliau, mangsa juga diugut dengan bayaran RM30,000 sekiranya ingin berhenti kerja dan kebanyakan mereka enggan membuat laporan polis kerana takut dengan ugutan sindiket.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Khalid berkata, enam suspek berumur antara 18 hingga 33 tahun telah ditahan dalam operasi bersepadu pada 15 Januari lalu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk pemerdagangan orang dan kanak-kanak, memiliki serta menghasilkan pornografi kanak-kanak, rompakan berkumpulan dan bersenjata, khianat dengan membinasakan kabel, mencuri, merusuh serta aktiviti pengedaran dadah,” katanya.

Menurut beliau, kertas siasatan telah dirujuk kepada Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara pada 5 Februari lalu dan pihak pendakwaan bersetuju menuduh semua suspek di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun.

“Pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Khamis ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI