KUALA LUMPUR – Teka-teki penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 yang masih belum mengumumkan penganjur meskipun kalender sudah memasuki Februari dijangka terjawab dalam masa terdekat, dengan keputusan akhir kini bergantung sepenuhnya kepada kelulusan Jemaah Menteri.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin menegaskan semua proses utama sudah digerakkan di peringkat dalaman, termasuk penghantaran kertas Kabinet kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet terdekat.
“Kertas Kabinet sudah pun dihantar kepada KBS dan kita kini menunggu keputusan Kabinet sebelum sebarang pengumuman rasmi dibuat,” katanya ketika ditemui pemberita di MSN, semalam.
Menurut Jefri, meskipun keputusan rasmi masih belum diperoleh, MSN tidak menunggu dalam keadaan pasif sebaliknya telah mengadakan pelbagai perbincangan awal bersama persatuan serta pasukan teknikal bagi memastikan LTdL dapat dilaksanakan segera sebaik kelulusan diperoleh.
“Di peringkat dalaman, kita sudah mengadakan pelbagai perbincangan dengan pihak persatuan dan pasukan teknikal bagi memastikan penganjuran LTdL boleh dilaksanakan secepat mungkin selepas dapat keputusan Kabinet,” jelasnya.
Mengulas soal penganjur, Jefri memaklumkan perancangan semasa menyaksikan KBS dijangka kembali menjadi penganjur utama, dengan MSN diberi tanggungjawab besar untuk memastikan keseluruhan penganjuran berjalan lancar mengikut perancangan.
“Perancangan ketika ini adalah KBS akan menganjurkan LTdL dan MSN diberikan tanggungjawab untuk memastikan penganjuran itu dapat direalisasikan. Namun begitu, semuanya masih tertakluk kepada keputusan Kabinet,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan aspek pelancongan kekal menjadi antara elemen penting penganjuran LTdL, susulan perbincangan awal yang telah dijalankan bersama agensi berkaitan sejak tahun lalu.
“Kita memang ada perancangan lanjut hasil perbincangan tahun lepas, termasuk bagaimana untuk menggabungkan elemen pelancongan. Semua itu akan diumumkan selepas kita memperoleh keputusan Kabinet,” ujarnya.
Dari segi garis masa, Jefri optimis tempoh persiapan masih berada dalam keadaan terkawal, dengan sasaran pengumuman rasmi dibuat sekitar April, sekali gus memberi ruang kira-kira dua bulan untuk melengkapkan semua persiapan. KOSMO! ONLINE














