JOHOR BAHRU – Seorang bekas jurutera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini terhadap enam dakwaan termasuk cubaan melakukan samun sebuah kedai emas dan memiliki senjata berbahaya, Jumaat lalu.
Tertuduh, Teo Chun Siong, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret A. Shaarmini; Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan Hakim Mohd. Zamir Suhaimee.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Chun Siong yang masih bujang didakwa telah melakukan percubaan merompak harta milik sebuah kedai emas di pusat beli belah Paradigm Mall, di sini pada pukul 5 petang, 6 Februari lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dengan denda jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh turut didakwa dengan lima pertuduhan memiliki tukul besi serta beberapa bilah pisau antara pukul 5.30 petang hingga 6 petang di hadapan kedai emas serta di tempat letak kenderaan pusat beli belah terbabit, pada tarikh sama.
Atas kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Ketiga-tiga mahkamah kemudian turut membenarkan tertuduh dijamin dengan wang jaminan keseluruhan berjumlah RM41,000 manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Mac.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd. Nizam, Shamira Mohd. Luthfi Ismail dan R. Navina, sementara itu tertuduh diwakili peguam Muhammad Mohd. Nasir.
Pada Sabtu lalu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya berjaya menahan suspek dan merampas kembali barangan kemas berjumlah RM158,195. – KOSMO! ONLINE














