PONTIAN – Sebanyak 13,900 akaun pengguna di daerah Pontian menerima kesan susulan cuaca panas dan kemarau panjang sejak sebulan lalu yang merupakan terburuk sejak tujuh lalu.
Pegawai Daerah Pontian, Kamalludin Jamal berkata, paras air di Empangan Machap yang menyalurkan sebahagian bekalan air bersih ke daerah ini dilaporkan menyusut berikutan tiada hujan turun selama sebulan.
Katanya, situasi ini menjejaskan bekalan air di Mukim Benut, Mukim Sungai Pinggan, Mukim Ayer baloi dan Mukim Api-api, sekali gus memaksa Syarikat Ranhill SAJ Sdn. Bhd. melaksanakan catuan Bekalan Air Berjadual (BAB).
“Gangguan air yang berlaku sejak Jumaat lalu sehingga 28 Februari ini di Kluang dan Pontian, susulan paras tadahan Empangan Machap yang menunjukkan trend penurunan kini berada pada tahap pemantauan rapi,” ujarnya.
Kamaluddin berkata demikian selepas mendengar taklimat berkaitan isu bekalan air di Pontian daripada Pengurus Ranhill SAJ Pontian Muhd Aliff Umar Sujani di Depoh Bekalan Air di Pontian Besar di sini.
Tambah Kamalludin, bagi memastikan penduduk mendapatkan bekalan air, Ranhill SAJ Sdn. Bhd telah menggerakkan lori tangki, tangki statik dan tangki besar ke lokasi terjejas termasuk Parit Makassar, Parit Menangis, Pekan Benut dan Ayer Baloi.
“Seramai 60 anggota Ranhill SAJ Sdn. Bhd digerakkan bagi memastikan pengagihan bekalan air kepada penduduk berjalan lancar dan teratur,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














