KUALA LUMPUR – Seorang wanita ditemukan maut dengan kesan pendarahan di kepala di hadapan sebuah sekolah di Jalan Sentul di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, Pusat Kawalan Sentul menerima panggilan memaklumkan seorang individu tidak sedarkan diri dengan pendarahan di bahagian kepala kira-kira pukul 7.20 pagi semalam.
“Anggota polis yang tiba di lokasi mendapati seorang wanita dewasa identiti belum dikenal pasti dianggarkan berusia lingkungan 50 hingga 60-an, terbaring dalam keadaan berdarah di bahagian kepala.
“Mangsa mengalami luka sepanjang kira-kira empat sentimeter di bahagian kepala sebelah kanan atas telinga serta bengkak pada kelopak mata.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun yang merupakan penganggur ditahan bagi membantu siasatan dan permohonan reman akan dibuat hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














