fbpx
Anwar ketika berucap pada merasmikan Dialog Antarabangsa Sastera dan Budaya Selangor 2026 di Dewan Pro-Canselor Universiti Selangor, Kampus Shah Alam. Foto SADDAM YUSOFF

Semua negeri perlu patuh arahan pembinaan rumah ibadat – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Pematuhan undang-undang dalam pembinaan rumah ibadat mesti diikuti semua pihak, termasuk negeri yang ditadbir pembangkang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, undang-undang dan dasar kerajaan mesti dilaksanakan tanpa pengecualian bagi memastikan ketertiban dan kelangsungan negara.

“Saya akan runding dengan semua kerajaan negeri termasuk negeri-negeri pembangkang yang kadang-kadang riuh rendah soal perjuangan mereka, namun kuil haram lebih banyak di negeri mereka.

“Kita ketepikan perbezaan politik itu dan pimpinan kerajaan Persekutuan telah membuat keputusan bahawa negara ini perlu terus maju dengan dasar yang jelas serta memberi kerjasama bagi melaksanakannya sebaik mungkin,” katanya ketika berucap merasmikan Dialog Antarabangsa Sastera dan Budaya Selangor 2026 di sini, malam ini.

Menurut beliau, Malaysia ini adalah negara hukum dan undang-undang yang terpakai kepada semua rakyatnya tanpa mengira agama termasuk dalam rumah ibadat.

“Kalau kita anak Malaysia yang merdeka dan tunduk kepada hukum dan undang-undang, mengapa diberikan pengecualian.

“Kaum ini kalau mahu beribadah mesti ikut peraturan, kaum ini boleh terlepas peraturan. Dan kerana kepentingan dan pertimbangan politik serta pilihan raya, ada yang dikecualikan,” jelasnya.

Beliau turut mendedahkan mengambil masa lebih dua tahun dalam memuktamadkan perkara tersebut supaya semua mengikuti peraturan yang telah ditetapkan.

“Bayangkan selepas puluhan tahun bergelut soal kuil dan ternakan khinzir, tetapi tidak ada pemutus, kata putusnya, tiada noktah.

“Tetapi, kerana ketegasan kita dan dukungan saudara-saudara, saya katakan bahawa negara ini untuk menjamin kelangsungannya sebagai satu negara bangsa, berdaulat dengan titik tolak nilai, akhlak dan sahsiah tersendiri, ia mesti kembali membetulkannya,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN