PETALING JAYA – Tarikh 8 Februari sepatutnya menjadi hari bahagia buat seorang gadis apabila bakal disatukan dengan pasangannya, namun takdir menentukan sebaliknya apabila ibunya meninggal dunia enam jam sebelum majlis berlangsung di Ampang kelmarin.
Disebabkan pemergian pada pukul 3 pagi itu, gadis yang mahu dikenali sebagai Wanie, 26, berkata, dia tetap meneruskan upacara akad nikah di hadapan jenazah ibunya kerana itu merupakan permintaan arwah yang menghidap kanser pankreas tahap empat.
Majlis akad nikah pasangan pengantin baharu itu menjadi tular dan dikecam kerana dilakukan di hadapan jenazah.
Cerita Wanie, dia berhasrat untuk melangsungkan majlis perkahwinan dengan disaksikan ibunya, namun tidak menyangka wanita berusia 70 tahun tersebut dijemput Ilahi pada hari yang sama.
“Sepatutnya saya merancang untuk bernikah pada Disember tahun ini, namun majlis tersebut terpaksa diawalkan selepas mengetahui tentang masalah kesihatan emak pada penghujung tahun lalu.
“Emak memang teringin tengok saya bernikah. Itu hajat terakhirnya. Jadi apabila emak meninggal dunia awal pagi semalam (kelmarin), saya memilih untuk meneruskan majlis ini walaupun arwah sudah tiada,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut Wanie, sebelum ini, ibunya berada dalam keadaan baik sebelum warga emas itu terjatuh pada Oktober tahun lalu.
“Pada peringkat awal, tiada sebarang masalah dikesan. Selepas itu doktor mengesahkan emak menghidap kanser pankreas tahap empat. Doktor beritahu, hayat emak tidak lama.
“Semua ikhtiar termasuk rawatan sudah dilakukan, bila ajalnya sampai memang tidak boleh buat apa-apa,” katanya reda.
Jelas Wanie, keputusan untuk menyegerakan majlis pernikahan pada bulan ini dilakukan semata-mata untuk memenuhi keinginan ibunya yang mahu melihat anak bongsu daripada enam beradik tersebut mendirikan rumah tangga.
“Saya reda dengan ketentuan Allah. Majlis ini (pernikahan) diawalkan sebab emak nak sangat tengok saya bernikah,” katanya.
Wanie berkata, dia tidak ambil pusing dengan kecaman yang dilemparkan netizen kerana niatnya mahu menunaikan permintaan arwah ibunya.
Gadis itu tidak menyangka tiga peristiwa besar berlaku serentak sehari dalam hidupnya iaitu ulang tahun kelahirannya, majlis akad nikah dan pemergian ibu tersayang.
Terdahulu, satu klip video tular sejak semalam menyaksikan seorang wanita melangsungkan akad nikah di hadapan jenazah ibu sehingga menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai kerana ia jarang berlaku.
Rata-rata netizen meluahkan rasa sebak apabila menyaksikan upacara akad nikah tersebut dan mendoakan agar Wanie terus kuat menghadapi ujian hidup serta rumah tangga yang dibina diberkati Allah SWT.














