PETALING JAYA – Promosi pakej pembedahan estetik oleh seorang pempengaruh media sosial yang bukan pengamal perubatan kini dipersoalkan.
Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, pempengaruh itu tidak menjawab persoalan asas berhubung dakwaan promosi meragukan yang dibuat sebelum ini.
“Jika beliau bukan pengamal perubatan mahupun wakil pusat perubatan, atas dasar apa beliau mempromosikan pakej pembedahan estetik, mendakwa memiliki bilik pembedahan sendiri dan menjanjikan kehadiran pasukan doktor? Apakah asas dakwaan tersebut serta melalui mekanisme dan kebenaran siapa?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Michael berkata, berdasarkan maklumat daripada peguam mangsa, pusat perubatan yang menjalankan prosedur tersebut didakwa tidak pernah menghubungi mangsa sebelum atau selepas pembedahan, bertentangan dengan kenyataan pempengaruh berkenaan kepada media.
Tambah beliau, bayaran kos pembedahan juga tidak dibuat terus kepada pusat perubatan yang terlibat, sebaliknya disalurkan ke akaun peribadi pempengaruh terbabit serta sebuah klinik lain, menimbulkan persoalan serius mengenai ketelusan, tanggungjawab perubatan dan pengurusan kewangan.
“Berdasarkan rekod perbualan yang dikemukakan peguam mangsa, seorang doktor warga China yang terlibat dirujuk sebagai Dr. Hou. Identiti sebenar serta kelayakan profesional individu tersebut bagaimanapun masih belum disahkan dan memerlukan siasatan lanjut pihak berkuasa,” katanya.
Menurut beliau, kes ini telah menimbulkan kebimbangan awam berhubung kaedah pemasaran perubatan, aliran pembayaran serta tanggungjawab profesional dalam rawatan estetik yang menyentuh keselamatan pesakit dan kepentingan awam.
“Perkara ini wajar disiasat secara menyeluruh oleh pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan keselamatan pesakit terjamin dan amalan perubatan mematuhi undang-undang,” tegasnya.
Katanya, Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA tidak membuat sebarang tuduhan terhadap mana-mana pihak kerana bukan badan penguat kuasa atau mahkamah.
“Kami akan terus memantau isu ini dan menggesa pihak berwajib menyiasat aspek pemasaran perubatan, perekrutan pesakit serta keselamatan rawatan demi melindungi kepentingan orang ramai,” katanya. – KOSMO! ONLINE














