PELUMBA berbasikal trek negara, Muhammad Ridwan Sahrom sedia menggalas tanggungjawab besar menjelang Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Filipina, Mac depan biarpun tanpa kehadiran abangnya, Shah Firdaus.
Pelumba kelahiran Muar, Johor itu melihat ketiadaan Shah Firdaus sebagai ruang terbaik untuknya membentuk identiti dan reputasi sendiri di pentas Asia.
Ridwan yang sebelum ini sering menjadi pelengkap strategi buat abangnya, kini bertekad memburu kejutan di pentas antarabangsa.
“Memang ada rasa sedih (ketiadaan Shah), sebab kalau ada abang mungkin strategi lebih kemas, tapi kali ini saya bergerak solo dan harap tiada masalah untuk lakukan kejutan.
“Sasaran saya sekurang-kurangnya satu pingat dalam acara individu dan kalau boleh bantu pasukan dalam pecut berpasukan juga,” katanya.
Mengulas mengenai persediaan fizikal, Ridwan menjelaskan fokus kini tertumpu kepada fasa kekuatan sebelum beralih ke blok kelajuan dua minggu menjelang kejohanan bagi memastikan kemuncak prestasi dapat dicapai di Tagaytay City nanti.
Selain keirin, Ridwan dijangka membentuk kombinasi mantap dalam acara pecut berpasukan bersama Muhammad Fadhil Zonis dan Mohd. Akmal Nazimi Jusena untuk mencabar dominasi kuasa besar seperti Jepun dan Korea Selatan.
Keyakinan Ridwan turut berada di tahap terbaik selepas menutup kempen 2025 dengan gemilang menerusi kejayaan meraih emas Sukan SEA, di mana beliau berjaya menumbangkan jaguh Thailand yang juga bekas juara Asia 2018, Jai Angsuthasawit.
“Tahun lalu saya menduduki tempat keempat dalam acara pecut dan kali ini fokus saya sepenuhnya kepada keirin dengan sasaran berada dalam kelompok lima terbaik,” tambahnya.
Pada edisi ACC 2025 yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, skuad berbasikal trek negara berjaya memungut dua emas, empat perak dan empat gangsa secara keseluruhan.














