MELAKA – Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mempergunakan anak saudara perempuannya yang berusia tujuh tahun untuk mengemis dengan mengenakan kostum ‘Spiderman’ di sebuah stesen minyak di Cheng, di sini.
Lelaki berusia 50 tahun itu ditahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka dalam satu serbuan kira-kira pukul 6 petang semalam yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin.
Kalsom berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai yang bersimpati dengan nasib kanak-kanak berkenaan yang terpaksa mengemis di bawah cuaca panas dan hanya berteduh menggunakan payung.
“Saya bergegas ke lokasi selepas menerima aduan mengenai perbuatan lelaki tersebut yang sanggup mengeksploitasi anak saudara sendiri untuk tujuan mengemis.
“Perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang melarang sebarang bentuk eksploitasi kanak-kanak, termasuk menggunakan mereka untuk mengemis, melakukan kerja berbahaya atau bagi tujuan komersial serta keuntungan tidak wajar,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Terdahulu, pemerhatian pemberita mendapati lelaki terbabit mula mengemis kira-kira pukul 4 petang bersama kanak-kanak tersebut yang mengenakan kostum ‘Spiderman’ yang sudah lusuh.
Sepanjang lebih dua jam berada di lokasi, beberapa kenderaan dilihat berhenti untuk menghulurkan sumbangan ke dalam sebuah kotak putih yang digantung di leher lelaki itu tertera tulisan ‘Sumbangan Ikhlas Hati’.
Selain itu, terdapat juga pemandu yang memanggil kanak-kanak berkenaan untuk memberikan wang secara terus sebagai wang belanja.
Kanak-kanak tersebut turut dilihat membawa buku aktiviti mewarna dan melukis bagi mengisi masa sementara menunggu sumbangan daripada orang ramai.
Mengulas lanjut, Kalsom berkata hasil soal siasat mendapati lelaki berkenaan mendakwa berasal dari Pantai Timur.
“Buat masa ini, lelaki tersebut tidak ditahan, namun amaran keras telah diberikan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya perbuatan sama berulang.
“Sekiranya berdepan kekurangan makanan atau masalah kewangan, gunakan saluran bantuan yang betul dan jangan sesekali melibatkan kanak-kanak dalam situasi seperti ini,” tegasnya.- KOSMO! ONLINE














