KUALA LUMPUR – Seramai 2,403 graduan Darul Quran melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang di peringkat diploma serta ijazah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) setakat tahun 2024.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merekodkan bilangan graduan tertinggi, diikuti Universiti Tenaga Nasional (Uniten) serta beberapa IPT lain termasuk universiti teknikal, institusi pendidikan dan politeknik.
Katanya, perkembangan itu menunjukkan lepasan tahfiz Darul Quran tidak terhad kepada bidang keagamaan, malah turut menyumbang dalam sektor profesional seperti kejuruteraan, pendidikan, pentadbiran dan bidang strategik negara yang lain.
“Pendekatan kolaboratif ini memanfaatkan kekuatan institusi sedia ada, menjimatkan kos, mengelakkan pertindihan fungsi serta memastikan kualiti akademik yang konsisten dan diiktiraf.
“Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan terus menilai peluang kerjasama strategik baharu yang sesuai dan berimpak, tertakluk kepada keperluan, keupayaan institusi dan kepentingan pendidikan tahfiz negara,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai adakah kerajaan berhasrat untuk menaik taraf Darul Quran Kuala Kubu Bharu menjadi universiti yang menawarkan program pengajian Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Kedoktoran.
Marhamah berkata, Darul Quran kekal berada di bawah kawal selia Jakim bagi memastikan ia terus unggul sebagai institusi tahfiz kebangsaan yang khusus, berfokus, berautoriti serta mampu memenuhi keperluan semasa.
Katanya, bagi memperkukuh kemampanan Darul Quran, Jakim melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya melalui program kolaborasi strategik dengan IPTA dan institusi pengajian tinggi Islam yang diiktiraf.
“Pendekatan ini membolehkan lepasan Darul Quran melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dan pascasiswazah tanpa menjejaskan identiti teras Darul Quran sebagai institusi tahfiz.
“Kerajaan berpandangan pendekatan kolaboratif ini lebih pragmatik, berfasa dan berimpak, selari dengan aspirasi pembangunan pendidikan Islam negara serta memastikan kualiti para pelajar terus terpelihara,” katanya.
Beliau memaklumkan, buat masa ini, dasar semasa menetapkan bilangan Universiti Awam telah dioptimumkan dan kementerian lain tidak menubuhkan universiti sendiri. – KOSMO! ONLINE














