fbpx
PEKERJA penyelamat dan orang ramai berada di lokasi sebuah bangunan runtuh di Tripoli, utara Lubnan semalam. – AFP 

Bangunan runtuh ragut 9 nyawa 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BEIRUT –  Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan enam diselamatkan daripada runtuhan bangunan pangsapuri bertingkat yang runtuh di bandar Tripoli,  utara Lubnan semalam, lapor laman berita Arab News.

Pasukan penyelamat terus menggali runtuhan untuk mencari lapan lagi mangsa dipercayai hilang, lapor Agensi Berita Nasional.  Mayat yang dikeluarkan termasuk seorang kanak-kanak dan seorang wanita.

Berpuluh-puluh penduduk berkerumun di sekitar tapak bangunan runtuh itu, dengan ada yang melepaskan tembakan ke udara.

Bangunan itu terletak di kejiranan Bab Tabbaneh, salah satu kawasan termiskin di Tripoli yang merupakan bandar kedua terbesar di Lubnan

Penduduk sudah lama mengeluh tentang pengabaian kerajaan dan infrastruktur yang tidak berkualiti. Bangunan runtuh bukanlah perkara  luar biasa di Tripoli disebabkan oleh piawaian bangunan yang lemah.

Kementerian Kesihatan Lubnan mengumumkan bahawa mereka yang cedera dalam nahas itu akan menerima rawatan dengan perbelanjaan ditanggung oleh kerajaan.

Persatuan pemilik hartanah dalam satu kenyataan menyifatkan kejadian itu sebagai ‘kecuaian terang-terangan dan kelemahan  Lubnan dalam melindungi keselamatan perumahan rakyat dan  ia bukan insiden terpencil.’

Ia menggesa kerajaan melancarkan  kajian nasional menyeluruh terhadap bangunan yang berisiko runtuh.

Perdana Menteri Nawaf Salam berkata dalam satu kenyataan bahawa kerajaan akan berusaha untuk memperkukuh mana-mana bangunan yang dianggap berisiko runtuh.

Beliau berkata, mengenal pasti lokasi bangunan tersebut adalah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN