fbpx
Gambar yang dikongsikan penduduk berhubung kejadian kebakaran di sebuah unit pangsapuri di Residensi Adelia, Persiaran Bangi Avenue, Kajang, malam tadi.

[VIDEO] Jerit kuat-kuat, maklum jiran ada rumah terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tindakan pantas penduduk menjerit dan memberi isyarat kepada jiran berjaya menyelamatkan penghuni sebuah pangsapuri selepas satu unit di tingkat lapan Residensi Adelia 1, Bangi Avenue di sini, terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam tadi.

Seorang saksi yang juga penduduk Residensi Adelia 2, Afifah, 33, berkata, kejadian itu disedari selepas suaminya yang bekerja di Melaka menghantar mesej memaklumkan terdapat kebakaran di kawasan kediaman tersebut.

“Waktu itu saya dan anak baru hendak masuk tidur. Lebih kurang pukul 10.30 malam, suami mesej ‘rumah terbakar nampak tak?’. Kami terus ke balkoni dan nampak memang ada unit terbakar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.

Menurut Afifah, unit yang terbakar terletak di tingkat lapan Residensi Adelia 1 (Blok D) dan berhadapan dengan kediamannya di Residensi Adelia 2 (Blok B).

Katanya, pada peringkat awal api hanya kelihatan di bahagian balkoni dan dia mengandaikan kebakaran berpunca daripada pakaian yang terbakar.

“Jiran lain kemudian beritahu dengar bunyi cermin pintu balkoni mula pecah dan api sudah masuk ke dalam rumah,” jelasnya.

Afifah berkata, dalam tempoh kira-kira lima minit, api merebak dengan pantas dan asap hitam tebal mula berkepul-kepul disusuli bunyi letupan.

“Kami nampak macam percikan mercun keluar dari balkoni rumah yang terbakar,” katanya.

Tambahnya, penduduk Blok B bertindak menjerit kuat memberi amaran kepada penghuni Blok D selepas dimaklumkan oleh rakannya yang tinggal di tingkat 19 blok berkenaan bahawa mereka tidak mendengar sebarang bunyi penggera kebakaran.

“Mereka cuma tahu ada kebakaran bila dengar bunyi letupan. Kami jerit ‘api, api’ bagi isyarat. Lepas itu nampak mereka turun guna tangga, tapi keadaan agak gelap,” katanya.

Menurut Afifah, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian, namun sebelum itu penduduk setempat telah berusaha memadamkan kebakaran.

Sementara itu, katanya, berdasarkan maklumat jiran, pemilik unit tidak berada di rumah ketika kejadian dan keadaan rumah tersebut dilaporkan musnah sepenuhnya.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan pada 10.42 malam, sebelum jentera dari Balai Bomba dan penyelamat (BBP) Bangi tiba di lokasi pada 10.55 malam, diikuti bantuan daripada BBP Semenyih.

Komander Operasi, PBK I Mohd Fadzli Jusni berkata, kebakaran berlaku di tingkat lapan melibatkan unit pangsapuri berkeluasan 1,200 kaki persegi.

“Kebakaran memusnahkan kira‑kira 80 peratus ruang bilik yang mengandungi bahan letupan (mercun). Tiada mangsa terlibat dalam insiden,” katanya.

Dalam perkembangan terkini, Mohd Fadzli memaklumkan bahawa pemeriksaan mendapati bahan letupan (mercun) berada di seluruh kawasan rumah, dan bukan hanya di bilik utama yang terbakar.

Jelasnya, api berjaya dikawal pada 11.19 malam, sebelum operasi diteruskan dengan kerja‑kerja overhaul bagi memadam baki bara dan memastikan tiada risiko letupan semula. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI