fbpx
Mimi terkejut selepas mendengar pendedahan mengejutkan berkait dakwaan eksploitasi serta pemerdagangan manusia melibatkan wanita dan kanak-kanak dalam industri hiburan tanah air.

‘Kita tak mahu negara ini ada ‘Jeffrey Epstein’ versi sendiri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelakon Mimi Lana meluahkan rasa terkejut, marah dan kecewa selepas mendengar pendedahan mengejutkan berkait dakwaan eksploitasi serta pemerdagangan manusia melibatkan wanita dan kanak-kanak dalam industri hiburan tanah air.

Ujar Mimi atau nama sebenarnya Mimi Roziana Zainal Abidin, 31, kisah diceritakan menerusi sebuah audio siar membabitkan pelakon Puteri Balqis serta ibunya meninggalkan kesan mendalam hingga membuatkan emosinya terganggu.

“Saya ambil masa lama untuk hadam apa didengar. Lagi difikirkan, lagi hati hancur. Pemerdagangan manusia bukan bahan gurauan.

“Ini bukan kandungan sensasi, bukan gosip. Ini trauma sebenar, lebih-lebih lagi apabila berlaku dalam industri tempat saya mencari rezeki.

“Selepas menonton penuh podcast Puteri Balqis bersama ibunya, hati terasa berat. Fikiran saya tak tenang. Maruah seorang wanita serta seorang ibu dipijak-pijak tanpa belas,” katanya dalam Threads.

Pelakon filem Mencari Ramlee itu turut menyifatkan pendedahan tersebut sebagai gambaran kejam terhadap nasib seorang ibu berjuang membesarkan anak dalam dunia lakonan, namun diperlakukan dengan hina serta tidak berperikemanusiaan.

“Ini kisah seorang ibu berhempas pulas membesarkan anak sebagai pelakon, tetapi didakwa diperlakukan dengan jijik, kejam dan tidak bermaruah.

“Lebih mengejutkan, dakwaan itu melibatkan seorang artis wanita veteran serta seorang ahli politik. Malaysia ada undang-undang. Perkara seperti ini langsung tidak patut berlaku,” luahnya.

Tambah isteri kepada aktor Syafiq Kyle itu, ruang kerja seharusnya menjadi tempat selamat, bukannya medan memburu mangsa terutama wanita serta kanak-kanak.

“Saya sentiasa percaya tempat kerja perlu selamat, bukan kawasan pemangsa. Bukan ruang wanita dan kanak-kanak dilayan seperti objek.

“Dalam industri ini, terlalu ramai wanita dan kanak-kanak bekerja. Ramai pula masih naif, terutama mereka baharu bertapak dan hanya mahu mencari rezeki. Mereka percaya, mereka ikut, mereka diam. Itu paling menakutkan,” ujarnya.

Bekas peserta Dewi Remaja itu turut mendesak pihak berkuasa mengambil isu tersebut secara serius serta menjalankan siasatan menyeluruh tanpa kompromi.

“Saya sangat berharap pihak polis memandang isu ini dengan penuh keseriusan. Bukan sekadar dengar, tetapi siasat sampai ke akar.

“Setiap kali kita memilih untuk diam, kita sebenarnya membenarkan perkara ini berulang. Kita tak mahu negara ini ada ‘Jeffrey Epstein’ versi sendiri. Pemerdagangan manusia perbuatan keji,” tegasnya.

Paling penting kata Mimi, dia sangat menggalakkan mangsa untuk tampil bersuara meskipun mengakui dirinya sendiri tergamam apabila mengetahui dakwaan sedemikian berlaku dalam industri tempat dia bekerja.

“Saya belum lama dalam industri ini, tetapi alhamdulillah Allah temukan saya dengan ramai insan baik walaupun saya bermula tanpa harta atau pangkat.

“Saya sangat terkejut apabila tahu perkara sejijik ini didakwa berlaku di tempat kerja sendiri. Ini kali pertama saya dengar kisah sebegini. Hati saya benar-benar hancur,” tuturnya

Terdahulu, ibu kepada pelakon Puteri Balqis, Norashikin Mohd Aziz, mendedahkan pengalaman hitam dilalui ketika anaknya berdepan masalah penglihatan hingga berada dalam keadaan terdesak.

Katanya, ketika berada dalam tekanan emosi sebagai seorang ibu yang hanya memikirkan usaha menyelamatkan anak, dia didatangi seorang artis veteran yang menawarkan bantuan melalui seorang ahli politik.

Lebih meyakinkan, bantuan tersebut dikatakan ikhlas tanpa memerlukan sebarang publisiti atau liputan media, sekali gus membuatkan dirinya tidak mengesyaki sebarang niat buruk. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI