fbpx
Lokasi kejadian kes buli di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru

Buli budak: Polis minta mangsa, saksi tampil buat laporan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Polis meminta mangsa serta saksi yang mempunyai maklumat berhubung dakwaan kejadian buli di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee di sini tengah malam tadi supaya tampil membuat laporan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya mengesan satu rakaman tular di media sosial yang mendakwa berlaku perbuatan buli di lokasi berkenaan, namun setakat ini belum ada sebarang laporan rasmi diterima.

Menurutnya, polis memandang serius dakwaan tersebut kerana ia melibatkan keselamatan awam serta kemungkinan wujud unsur jenayah yang boleh diambil tindakan mengikut undang-undang.

“Siasatan awal sedang dijalankan bagi mengenal pasti kesahihan rakaman yang tular serta mengesan individu-individu yang terlibat. Polis juga sedang berusaha mengesan saksi yang berada di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Raub menegaskan, kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab sekiranya kejadian itu benar berlaku.

Sehubungan itu, mangsa, ahli keluarga atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta tampil membuat laporan di balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Johor Bahru Selatan bagi menyalurkan maklumat.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan kes tular berkaitan satu rakaman video televisyen litar tertutup (CCTV) kejadian buli melibatkan beberapa kanak-kanak yang disyaki berlaku di kawasan kediaman di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee di sini, 12.39 tengah malam tadi.

Menerusi video CCTV berdurasi 23 saat yang tular menunjukkan kejadian berlaku melibatkan sekurang-kurangnya empat kanak-kanak melakukan kejadian itu ke atas mangsa yang disyaki juga kanak-kanak lelaki.

Kelihatan pantulan cahaya api dipercayai disembur ke arah mangsa yang terbaring dalam keadaan tangan terikat.

Tidak lama kemudian, tiga daripada mereka mendekati mangsa yang terbaring sebelum mengangkat mangsa dalam keadaan lemah.

Manakala seorang kanak-kanak bertindak sebagai pemantau atau ‘cover line’.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN