Sebagai seorang ibu bekerjaya, Ayu Suehanna Hamzah tetap mengutamakan keperluan keluarganya setiap hari.
Kesibukan waktu menjadi cabaran untuk dirinya menyediakan juadah yang lengkap bagi keluarga kecilnya terutama pada hari bekerja.
Justeru, ibu kepada dua anak itu mengambil keputusan untuk menggunakan perkhidmatan mangkuk tingkat yang kini semakin menjadi trend masyarakat.
Bukan sekadar menyediakan sajian lengkap, ia juga memudahkan orang ramai tanpa perlu mencari pinggan dan mangkuk jika beli makanan-makanan yang dibungkus.
“Kesibukan harian saya kadangkala membuatkan saya tidak sempat memasak atau beli makanan di kedai.
“Oleh itu, saya menggunakan pakej mangkuk tingkat yang sudah lengkap dengan nasi, lauk dan sayur atau buah, sesuai untuk dua orang.
“Dengan sekali bayar, makanan akan terus dihantar ke rumah mengikut jadual. Saya akan membeli dua set iaitu satu set dewasa dan satu set kanak-kanak.
“Sistem mangkuk tingkat ini sememangnya memudahkan,” katanya kepada CitaRasa.
Menurut Ayu Suehanna, dia lazimnya akan menggunakan perkhidmatan mangkuk tingkat Gemok’s Kitchen untuk makan tengah hari yang akan diterima pada pukul 11 pagi.
Bahkan, pengalamannya menggunakan perkhidmatan mangkuk tingkat secara harian menyebabkan dia memilih untuk melakukan perkara sama pada Ramadan untuk penyediaan makanan sahur.
Penghantar akan menghantar mangkuk tingkat bermula sekitar pukul 3 hingga 4 pagi menggunakan konsep ‘ketuk pintu’, dan perkhidmatan ini terhad kepada kawasan Seremban 2, Negeri Sembilan sahaja.
“Sistem ini banyak membantu saya dan saya juga sudah menempah pakej sahur yang akan ditawarkan sepanjang Ramadan nanti,” kongsinya.
Fenomena perniagaan dan perkhidmatan makanan mangkuk tingkat di Malaysia kini menunjukkan perkembangan yang menarik, menggabungkan tradisi lama dengan keperluan moden.
Pada asalnya, ia digunakan sebagai bekas membawa juadah rumah, tetapi konsep ini telah diubah suai menjadi perniagaan harian yang menawarkan makanan rumah yang segar, praktikal dan sihat kepada golongan yang sibuk.
Pengusaha perkhidmatan ini akan memasak makanan dan menyediakan masakan dalam mangkuk tingkat.
Selain memanfaatkan media sosial untuk pemasaran, trend ini juga selari kesedaran mesra alam melalui pengurangan penggunaan plastik dan sistem deposit mangkuk tingkat.
Pengusaha perkhidmatan mangkuk tingkat, Fatin Noor Azlyn Azman berkata, inspirasi di sebalik tawaran perkhidmatan mangkuk tingkat adalah untuk menyediakan alternatif yang lebih sihat berbanding penggunaan bekas makanan biasa yang mengandungi bahan kimia, plastik atau bahan tidak sihat lain.
“Dua adik perempuan saya, Nur Hidayah dan Nur Azzira didiagnosis menghidap kanser payudara tahap 3 dan 4 dan seorang telah meninggal dunia.
“Impian kami ialah membuka perniagaan makanan sihat tanpa penggunaan MSG, gula putih dan sebarang bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan.
“Oleh itu, kami memilih untuk menggunakan mangkuk tingkat daripada besi sebagai medium penyimpanan makanan, agar setiap hidangan kekal semula jadi, selamat dan bebas daripada bahan tidak sihat.
“Inspirasi konsep mangkuk tingkat juga datang daripada pengalaman nostalgia zaman kecil kami ketika melihat ibu dan nenek menyediakan makanan dalam mangkuk tingkat sebagai bekalan,” katanya yang mengusahakan Gemok’s Kitchen.
Perkhidmatan Gemok’s Kitchen meliputi kawasan Seremban, Sendayan dan Seremban 2, dengan beberapa pakej makanan yang disesuaikan mengikut keperluan pelanggan.

Antaranya termasuk makanan tengah hari yang menekankan hidangan sihat dan tradisional tanpa MSG dan gula putih, pakej pantang khusus untuk ibu selepas bersalin, pakej healthy food untuk mereka yang ingin menjaga pemakanan harian serta pakej kanak-kanak.
Selain itu, terdapat juga pakej makan malam yang dimasak segar pada waktu pagi dan dihantar antara pukul 4 hingga 7 petang, serta pakej tengah hari yang dihantar pada pukul 11 pagi.
Mangkuk tingkat jenis aluminium yang digunakan mempunyai empat tingkat iaitu dua untuk nasi, satu untuk lauk dan satu untuk buah.
Sistem mangkuk tingkat ini juga menggunakan deposit dan dilengkapi dengan keychain nama untuk memudahkan pengembalian serta mengelakkan kehilangan.
Setakat ini, perniagaan tersebut menggunakan lebih 100 biji mangkuk tingkat bagi memenuhi keperluan pelanggannya.
Tambah Fatin Noor Azlyn, cabaran perniagaan mangkuk tingkat termasuk memastikan penghantaran makanan tepat pada waktunya dan tidak tumpah.
“Penyusunan makanan berkuah dalam mangkuk tingkat perlu dilakukan dengan teliti supaya tidak tumpah semasa penghantaran, sambil memastikan makanan tetap segar dan mengekalkan nilai nutrisi.
“Selain itu, perhatian tambahan perlu diberikan kepada pelanggan warga emas atau kurang upaya kerana mereka mungkin memerlukan bantuan untuk angkat dan basuh mangkuk tingkat.
“Kami menghargai pelanggan yang mencuci mangkuk tingkat tersebut walaupun tidak diwajibkan. Ini kerana kami akan membasuh sekali lagi setiap kali dipulangkan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengusaha mangkuk tingkat, Sharifah Azian Shah Syed Zainal, baru sahaja memulakan perniagaan dari rumah pada Disember lalu.
“Saya menggunakan mangkuk tingkat berwarna-warni daripada plastik, manakala besi digunakan untuk pilihan lain yang lebih mudah buka-tutup.
“Mangkuk tingkat ini mempunyai tiga hingga empat tingkat, biasanya mengandungi nasi, sayur dan protein.
“Selain itu, terdapat juga pilihan untuk membeli lauk sahaja dengan menumpukan kepada masakan Melayu,” katanya.
Perkhidmatan perniagaan bernama Air Tangan Mama itu menjalankan penghantaran mangkuk tingkat mulai pukul 11 pagi ke rumah atau pejabat di kawasan Petaling Jaya, Puchong, Cyberjaya dan Putrajaya.
Sewaktu bulan puasa, penghantaran pakej bulan puasa akan dibuat seawal pukul 3 petang bagi memudahkan pelanggan yang mahukan makanan sebelum pulang dari pejabat.
Pakej ditawarkan secara bulanan dan hanya menerima tempahan mingguan selama lima hari.
Menu yang disediakan boleh berubah setiap hari dan pelanggan berpeluang memilih menu untuk seminggu mengikut kehendak mereka.
Kongsi Sharifah Azian, pengurusan mangkuk tingkat ialah cabaran apabila terdapat kekurangan mangkuk sekiranya pelanggan tidak memulangkannya.
“Saya tidak mengenakan sebarang deposit seperti pengusaha lain. Oleh itu, pengurusan yang rapi amat diperlukan bagi memastikan mangkuk tidak terlepas atau tertinggal.
“Pada masa yang sama, bilangan pelanggan terhad kepada 25 orang kerana kapasiti mangkuk dan bilangan penghantar yang terhad,” katanya.














