ALOR SETAR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan bahawa kes salah guna pas lawatan sosial dalam kalangan warga asing menunjukkan trend peningkatan sejak dua tahun lalu.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun peningkatan yang berlaku tidak ketara, namun ia tetap perlu diberi perhatian serius.
Katanya, kes tersebut merupakan antara kesalahan yang sering dikesan selain tiada dokumen perjalanan dan tinggal lebih masa setiap kali penguatkuasaan dilakukan.
“Ada yang masuk dengan pas (lawatan) sosial iaitu sebagai pelancong tetapi dia bekerja, mungkin bekerja di restoran atau mungkin ambil tempahan dari kedai-kedai perabot, ambil tempahan hiasan dalaman.
“Kemudian dia balik ke negara dia, dia siapkan tempahan dan datang balik dengan menawarkan harga yang sangat murah. Itu bagi kesan kepada perniagaan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah kerajaan untuk mewujudkan pasukan petugas khas bagi menangani isu salah guna pas lawatan sosial oleh warga asing serta lambakan barangan di pasaran.
Menurut Saifuddin, Menteri Kewangan II akan mempengerusikan pasukan khas berkenaan dan KDN akan menganggotainya menerusi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Jabatan Imigresen.
“Bagi seseorang yang masuk ke negara kita menggunakan pas sosial tetapi dia bekerja, dia melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Selepas ini, kita akan mengambil tindakan yang lebih tegas dan tidak ada lagi ruang. Jika tangkapan dibuat, kita akan guna pakai akta sedia ada dan proses undang-undang akan dilaksanakan,” jelasnya.
Tambahnya, kerajaan sentiasa terbuka untuk menerima kehadiran pelawat, namun pada masa mereka harus menghormati undang-undang negara ini. – KOSMO! ONLINE














