PETALING JAYA – Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Tahun Baharu Cina akan dilaksanakan selama dua hari iaitu bermula pukul 12.01 tengah malam pada 14 Februari dan berakhir 11.59 malam keesokan harinya.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan itu melibatkan Implikasi kewangan yang ditanggung Kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM19.5 juta.
Jelas beliau, keputusan itu diambil selaras dengan agenda Kerajaan Madani dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum, dan kepercayaan.
“Inisiatif ini tertakluk kepada kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol serta Kelas 2 bagi Jambatan Pulau Pinang, namun ia dikecualikan bagi plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuh Raya Utara Selatan dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).
“Pemilihan tarikh tersebut bertujuan mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan selain mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan di sepanjang kawasan hentian sebelah serta kawasan rehat dan rawat di lebuh raya,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, pemberian diskaun tol 50 peratus itu diharap dapat meringankan beban kos perjalanan untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama ahli keluarga atau bercuti untuk menyambut awal Ramadan.
Pada masa sama, beliau menyeru supaya semua pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan pengurangan kadar tol itu dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
“Pengguna disarankan memuat turun aplikasi MyPLUS-TTA dan TuJu Highway Navigation App Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) untuk mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan bagi meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pemanduan.
“Selain itu, semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan papan tanda, had laju, dan maklumat yang dipaparkan di Variable Message System (VMS).
“Bagi mereka yang menggunakan lorong Smart Lane, anda diminta memberi isyarat awal sebelum memasuki lorong tersebut, memandu dengan kelajuan ditetapkan, dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling,”katanya.
Tambah Alexander, pengguna juga disarankan untuk menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya melalui saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia di Facebook, aplikasi X, TikTok, atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1800-88-7752.
Maklumat tambahan juga boleh didapati melalui laman sesawang rasmi LLM untuk paparan CCTV serta WhatsApp Channel LLM Info Trafik.-KOSMO! ONLINE














