KEPALA BATAS – Pengoperasian kilang INV New Material Technology (M) Sdn. Bhd. (INV) di Taman Teknologi Pulau Pinang (PTP), Bertam sejak pertengahan tahun lalu dilihat mampu mengukuhkan status Kepala Batas sebagai hab industri berteknologi tinggi di Pulau Pinang.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, peneraju industri pemisah bateri litium global itu mampu merancakkan ekonomi setempat serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, khususnya golongan muda.
“Daripada 460 kakitangan yang ditempatkan di kilang berkenaan, seramai 155 orang adalah anak tempatan Kepala Batas, termasuk yang berkhidmat sebagai jurutera dengan pendapatan mencecah RM7,000 hingga RM8,000 sebulan.
“INV yang juga anak syarikat Shenzhen Senior Technology Material Co. Ltd sebelum ini melabur kira-kira RM3.2 bilion bagi pembangunan projek fasa pertama kilang itu di atas tanah seluas 26.7 hektar,” katanya selepas meluangkan masa meninjau operasi kilang tersebut semalam.
Difahamkan projek fasa kedua dengan nilai pelaburan sama dijangka bermula tahun depan dan dijangka membuka kira-kira 1,200 peluang pekerjaan baharu, selain menjadikan kilang itu sebagai yang pertama dalam industri pemisah bateri litium global di Asia Tenggara, selepas China. – KOSMO! ONLINE














