PUTRAJAYA – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong gagal dalam permohonannya untuk memperoleh kebenaran bagi semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lapan tahun serta sebatan atas kesalahan merogol amah.
Ini selepas panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah sebulat suara menolak permohonan Paul Yong bagi memperoleh kebenaran permohonan semakan tersebut.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequarah. Dengan keputusan itu, Paul Yong kekal dipenjara.
Ketika membacakan penghakiman, panel berpendapat pemohon gagal memenuhi ambang yang ditetapkan di bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.
Kaedah 137 memperuntukkan kuasa semula jadi Mahkamah Persekutuan untuk menyemak keputusan sendiri, tetapi hanya dalam keadaan luar biasa bagi mengelakkan ketidakadilan atau penyalahgunaan proses mahkamah.
Dalam prosiding hari ini, Paul Yong diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, manakala pendakwaan diwakili Datuk Yusaini Amer Abdul Karim.
Sebelum ini, berdasarkan dokumen, notis usul yang difailkan mengikut Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 memohon semakan serta perintah untuk mengetepikan keputusan terdahulu oleh Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap anak guamnya.
Pada 1 Oktober 2025, Paul Yong kekal menjalani hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan atas kesalahan merogol pembantu rumahnya.
Keputusan sebulat suara itu, dibuat panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh selepas menolak rayuan akhir Paul Yong terhadap sabitan dan hukuman kerana kesalahan tersebut.
Beliau yang bersidang bersama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah turut mengekalkan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan pada 1 Mac tahun lalu.
Hakim Wan Ahmad Farid ketika membaca penghakimannya berkata, mahkamah mendapati sabitan terhadap perayu adalah selamat selain hukuman yang diputuskan Mahkamah Rayuan bersesuaian.
Katanya, terdapat kejadian rogol tanpa persetujuan mangsa dan ia dibuktikan tanpa keraguan munasabah.
Panel berpendapat isu ketiadaan asid deoksiribonukleik (DNA) perayu ditemui pada mop yang digunakan untuk mengelap air mani dalam bilik tersebut, panel berpendapat bukti DNA hanya bersifat menyokong dan tidak akan menjejaskan kes pendakwaan untuk membuktikan unsur-unsur kesalahan rogol di luar keraguan munasabah.
Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan terhadap Paul Yong selepas didapati bersalah merogol amah warga Indonesia berusia 23 tahun di sebuah bilik di rumahnya di Ipoh pada 7 Julai 2019.
Pada 1 Mac 2024, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 mengekalkan sabitan bersalah terhadap Paul Yong. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengurangkan tempoh hukuman penjara daripada 13 kepada lapan tahun dengan dua sebatan.
Perbicaraan kes itu bermula pada 5 April 2021 dengan 23 saksi termasuk dua saksi terlindung dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan. – KOSMO! ONLINE














