BALING – Seorang lelaki berusia 34 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari pokok petai pada ketinggian 18 meter di kawasan kebun getah di Kampung Bukit Hijau, Kupang, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam pada pukul 12.22 tengah hari sebelum bergegas ke lokasi.
“Pihak Kementerian Kesihatan yang melakukan pemeriksaan ke atas mangsa mendapati lelaki itu telah meninggal dunia. Pemeriksaan awal mendapati tiada unsur jenayah dan mangsa dipercayai terjatuh dari ketinggian 18 meter ketika mengait petai,” katanya hari ini.
Katanya, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Baling di sini untuk dibedah siasat. Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE














