KOTA BHARU – Seorang buruh dipenjara enam bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan bapa kandungnya dengan kayu pada Isnin lalu.
Tertuduh, Yusmainy Husain, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Husain Mahmood, 78, di Kampung Pauh, Pengkalan Chepa, di sini pada pukul 12 tengah hari, 2 Februari lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nabil Mohamed Asri, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nik Nazriani Nik Ab. Rahman.
Terdahulu, Ahmad Nabil memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi perbuatan tersebut pada masa akan datang.
Nik Nazriani dalam rayuannya memohon hukuman penjara minimum kerana tertuduh hanya bekerja kampung dan pendapatan pula tidak menentu.
Mengikut fakta kes, Yusmainy yang mahu mengambil motosikal memarahi bapanya dengan berkata ‘menatang ni’ sebelum warga emas tersebut mengeluarkan kata-kata sama.
Keadaan itu menyebabkan Yusmainy turun daripada motosikal sebelum mengambil sebatang kayu dan memukul bapanya sehingga lebam pada tangan kiri. – KOSMO! ONLINE














