MELAKA – Polis menahan seorang pengawal keselamatan dan anaknya selepas disyaki menyamun warga Bangladesh dengan menyamar sebagai anggota polis pada Ahad lalu.
Suspek berusia 51 dan 25 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Siasatan Khas (D9), Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di kawasan perindustrian ringan Telok Mas dan pondok berhampiran Masjid Al-Alami, Ayer Keroh pada 1 dan 2 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mereka dipercayai menyamar sebagai anggota polis dan melarikan wang RM720 milik lelaki Bangladesh yang sedang mengayuh basikal pada Ahad lalu.
“Mereka menahan mangsa dan berpura-pura memeriksa beg sandang lelaki itu sebelum melarikan wang,” katanya kepada pemberita, di sini.
Dengan penangkapan suspek itu, polis berjaya menyelesaikan satu kes samun di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan serta satu kesalahan di bawah Seksyen 170 kanun sama.
“Semakan mendapati si bapa memiliki tiga rekod jenayah berkaitan rogol, samun dan tipu, manakala anaknya yang bekerja kilang pernah terlibat dalam kes menyamar polis dan samun.
“Polis mendapatkan arahan pendakwaan terhadap lelaki berusia 51 tahun itu di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Melaka esok,” ujarnya.
Orang awam yang pernah mengalami kejadian sama diminta membuat laporan polis. – KOSMO! ONLINE














