fbpx
MOHD FARED (dua dari kiri), menyampaikan bantuan zakat pada Majlis Pengumuman Kadar Zakat Fitrah 1447H Bersamaan 2026 Hijrah di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru hari ini. Foto BAZLAN IBRAHIM

8 ajaran sesat masih ‘hidup’ di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Lapan ajaran yang difatwakan sesat masih dikesan wujud dan dipantau di negeri Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, antara ajaran sesat yang masih dikesan ialah Hizbur Tahrir, Syiah, Wahabi, Millah Abraham, Si Hulk, GISBH, Qadiani dan The Ahmadi Religion Of Peace And Light.

“Trend terkini menunjukkan bahawa kerajaan negeri tidak melihat peningkatan mendadak dan tiada bukti tentang gelombang besar ajaran sesat baru yang belum dikenal pasti, tetapi terdapat usaha-usaha percubaan untuk membawa masuk atau menyebar kembali ajaran-ajaran yang telah difatwakan sesat sebelum ini.

“Contohnya, aktiviti berkaitan penyebaran semula ajaran The Ahmadi Religion Of Peace And Light telah dikesan melalui poster yang tertampal di beberapa lokasi di Muar, baru-baru ini.

“Tindakan serta merta juga pemantauan telah dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan untuk menurunkan bahan tersebut dan menyiasat dakwaan penyebaran itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Amanat 2026 di Pusat Islam Iskandar Johor, di sini hari ini.

Mohd Fared berkata, antara faktor yang menyebabkan masih ada segelintir masyarakat terjebak dengan ajaran sesat ialah kurang pengetahuan tentang agama, mengalami tekanan hidup yang serius, ajaran sesat menjanjikan perkara luar biasa seperti pengambunan dosa tanpa usaha.

Selain itu, pengaruh pemimpin yang berkarisma seperti petah bercakap serta pandai memanipulasi emosi, mendakwa memiliki ilmu istimewa, karamah atau menerima wahyu tertentu.

“Tekanan sosial dan pengaruh persekitaran turut menjadi faktor individu boleh terpengaruh ajaran sesat. Apabila keluarga, rakan atau komuniti terdekat terlibat, seseorang mungkin mengikut ajaran tersebut kerana takut disisihkan atau untuk menjaga hubungan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fared berkata, kerajaan negeri mempergiat usaha membanteras ajaran sesat melalui pendekatan penguatkuasaan, pencegahan dan pemulihan akidah secara bersepadu bagi melindungi kesucian Islam di negeri ini.

Jelasnya, usaha tersebut digerakkan menerusi Jabatan Agama Islam Negeri Johor dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia serta beberapa agensi berkaitan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI