GUA MUSANG – Sebatang pokok tualang dianggarkan berusia lebih 120 tahun setinggi kira-kira 60 meter berhampiran Kampung Sungai Bayu di sini yang dikatakan ‘kebal’ kerana berpenunggu akhirnya ditebang hari ini.
Penebangan pokok dengan lilitan batang sebesar tiga pemeluk itu mengambil masa selama hampir tiga jam bagi memberi laluan kepada pembinaan Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 2A.
Projek Kordinator LTU Pakej 2A, Fizal Irwan Abdul Wahid berkata, proses tebangan pokok dilakukan selepas pihaknya mendapat kebenaran Jabatan Perhutanan kerana kedudukan pokok berkenaan berada tepat di laluan jajaran jalan yang menghalang kerja pembinaan.
Katanya, langkah keselamatan rapi dilaksanakan sepanjang operasi memandangkan saiz pokok yang besar memberi risiko kepada pekerja dan pengguna jalan di kawasan sekitar.
“Operasi bermula pukul 9.15 pagi dengan melibatkan lebih 40 orang termasuk pihak perunding, kontraktor utama dan sub kontraktor. Proses penebangan mengambil masa hampir tiga jam dan pokok mula tumbang pada pukul 11.46 pagi dalam tempoh 30 saat.
“Kerja penebangan tamat sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari sebelum pokok itu akan ditanam semula di kawasan berhampiran. Proses kerja dilakukan secara terkawal termasuk kawalan aliran trafik bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi penebangan pokok di Kampung Sungai Bayu di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Mukim Relai Utara, Mohd. Sopian Che Seman berkata, dia terkilan apabila mercu tanda Kampung Sungai Bayu sejak beratus tahun lalu terpaksa ditebang.
Katanya, penduduk kampung terpaksa merelakan pokok tualang yang tumbuh secara semula jadi itu ditebang bagi memberi laluan kepada pembangunan projek jalan.
“Pokok tualang yang berada di laluan Jalan Gua Musang-Kuala Krai itu memang terkenal kerana menjadi mercu tanda sempadan daerah Gua Musang dan Kuala Krai. Disebabkan pembangunan, kita terpaksa korbankan.
“Insya-Allah walaupun pokok itu tiada selepas ini, kita berharap projek LTU Pakej 2A Sungai Lakit ke Paloh yang sedang rancak berjalan dapat disiapkan mengikut jadual bagi memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














