PETALING JAYA – Selangor FC mengesahkan slot separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN selepas terikat 1-1 dengan kelab Thailand, BG Pathum United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Daripada aksi yang dijelmakan, The Red Giants wajar memastikan kemenangan ketika pelawat hanya meraih jaringan daripada gol sendiri pertahanan tuan rumah, Richmond Ankrah.
Terdahulu, skuad kendalian Kim Pan-gon terpaksa bermain 10 orang selepas Alvin Fortes dilayangkan kad merah pada minit ke-25.
BG Pathum United hampir berada di depan namun rembatan Chatmongkol Tongkiri dari sebelah tepi pada minit ke-20 berjaya diselamatkan penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.
Walaupun kurang seorang pemain, Faisal Halim sekali lagi menyerlahkan magis apabila meledak gol pertama Selangor FC pada minit ke-36.
Memasuki separuh masa pertama, tuan rumah dihimpit nasib malang apabila Ankrah tertampan bola ke gawang sendiri ketika usahanya mengeluarkan bola hantaran Ekanit Panya.
Seterusnya Pan-gon memasuki beberapa pemain baharu termasuk Harith Haiqal Adam Afkar dan Zikri Khalili bagi memperkukuhkan benteng.
Satu mata memastikan status naib juara Kumpulan A, berkongsi sembilan mata dengan Buriram United yang berada di tempat pertama. – KOSMO! ONLINE














