GEORGE TOWN – Isu pelabelan tidak lengkap termasuk tiada butiran yang dikehendaki, alamat pengimport serta tarikh luput dikenal pasti antara kesalahan yang seringkali dilakukan peniaga makanan di negeri ini.
Bukan setakat itu, terdapat juga kes makanan yang telah melepasi tarikh luput dan masih dijual kepada pengguna, selain pembungkusan makanan yang rosak serta tidak lagi sesuai untuk dipasarkan.
Exco Kesihatan, Belia dan Sukan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, kesalahan tersebut dikenal pasti hasil pemeriksaan dan pemantauan berterusan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) ke atas pelbagai premis makanan di seluruh negeri sepanjang tahun 2025.
“Selain isu pelabelan dan tarikh luput, aspek kebersihan makanan dan premis turut menjadi antara kesalahan utama yang sering dikesan.
“Sekiranya didapati makanan yang dijual atau disajikan tidak mematuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan, tindakan penguatkuasaan akan diambil tanpa kompromi,” katanya selepas merasmikan operasi pematuhan keselamatan makanan sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2026 (Ops Ma 2026) di sini, hari ini.
Daniel berkata, sepanjang tahun 2025, JKNPP telah menerima sebanyak 475 aduan daripada orang awam berkaitan premis makanan dan daripada jumlah itu, 348 aduan melibatkan restoran dan kedai makan, diikuti 37 aduan terhadap warung atau gerai, 31 aduan melibatkan pasar raya dan 14 aduan berkaitan medan selera.
“Selain itu, sebanyak sembilan aduan diterima membabitkan kantin sekolah, dapur taska, prasekolah atau asrama, dua aduan terhadap perkhidmatan katering serta 25 aduan lain-lain premis,” katanya.
Daniel berkata, selain pengeluaran kompaun, sepanjang Januari juga pihaknya turut menjalankan 145 sitaan produk makanan dengan nilai hampir RM700 membabitkan makanan yang didapati tidak mematuhi piawaian keselamatan ditetapkan. – KOSMO! ONLINE














