KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu membantah cadangan mengembalikan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dianggap bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pilihan raya yang telah dimansuhkan pada tahun 1969 itu boleh mewujudkan konflik antara kerajaan negeri dan PBT.
“Jangan melihat pilihan raya PBT semata-mata, tetapi lebih penting keseimbangan dalam masyarakat serta kesan yang mungkin berlaku sekiranya wujud perbezaan antara PBT dan kerajaan negeri. Keadaan itu berpotensi menjejaskan kelancaran pentadbiran kerajaan,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu beliau ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Terengganu dan Batik Air.
Ahmad Samsuri berpandangan pengenalan semula pilihan raya PBT tidak membawa kebaikan terhadap
pentadbiran PBT pada masa ini.
Beliau berkata, sebaiknya sistem sedia ada ditambah baik bagi memperkasa PBT.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memberitahu, kementeriannya sedang menjalankan kajian berhubung kebolehlaksanaan mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE














