fbpx
Faridul Firdaus (depan) ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah hari ini.

Penceramah Faridul Firdaus kena jel 10 hari, gagal bayar hutang kahwin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAWANG – Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat di sini menjatuhkan hukuman penjara selama 10 hari berkuat kuasa hari ini terhadap seorang penceramah bebas selepas gagal membayar hutang perkahwinan berjumlah RM120,000 yang dituntut oleh bekas isteri ketiganya.

Mahkamah turut memerintahkan pihak penghutang selaku defendan membayar RM3,000 bagi kos prosiding.

Hakim Syarie Mohd. Faizal Habib memutuskan hukuman itu selepas mahkamah menolak kesemua alasan penghutang, Faridul Firdaus Zaulkapli, 40, yang gagal membayar hutang tersebut sejak 2023.

Penghakiman dibuat berdasarkan Seksyen 179 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 berkaitan permohonan untuk mengeluarkan notis penghakiman terhadap penghutang penghakiman.

Antara alasan-alasan yang dikemukakan oleh pihak penghutang adalah mengalami kesempitan kewangan yang serius kerana tauliah ceramah ditarik balik, penanggung tunggal bagi tiga isteri dan 10 anak, menanggung kedua-dua ibu dan bapa serta akaun bank miliknya dibekukan.

“Penghutang penghakiman sepatutnya membayar RM120,000 tersebut dalam tempoh enam bulan dari tarikh penghakiman diserahkan kepadanya sejak 2023. Namun, penghutang ingkar membayarnya.

“Berdasarkan ekshibit-ekshibit yang dilampirkan, penghutang penghakiman mempunyai pendapatan bulanan yang ditunjukkan dalam penyata akaun syarikat miliknya, syarikat Raudhatul Furqan Resources yang jelas membuktikan dia mempunyai sumber dan keupayaan kewangan untuk menjelaskan pembayaran penghakiman mahkamah tersebut.

“Mahkamah juga mendapati penghutang gagal membuktikan perbelanjaan persekolahan 10 anaknya kerana didapati mereka semua hanya home school,” kata hakim syarie itu.

Mahkamah turut menjelaskan defendan sepatutnya memohon penjadualan semula bayaran atau mengemukakan cadangan bayaran secara sukarela di antara pemiutang sekiranya benar menghadapi kesempitan kewangan.

“Sikap ini secara langsung mencabar kewibawaan mahkamah syariah kerana membiarkan perintah mahkamah tidak dipatuhi tanpa sebarang usaha pematuhan sekaligus menafikan hak pemiutang penghakiman.

“Keingkaran berterusan penghutang penghakiman untuk membuat walau satu bayaran kecil sekalipun adalah bukti kukuh keingkaran tersebut adalah disengajakan dan wajar dikenakan tindakan penguatkuasaan yang tegas oleh mahkamah,” kata hakim itu.

Bekas isteri ketiga penghutang, Norhasyimah Mohamed Arip, 44, merupakan pemiutang yang diwakili oleh peguam syarie, Musa Awang manakala defendan tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Musa berkata, hutang tersebut berserta kos prosiding tetap perlu dibayar oleh defendan walaupun diperintahkan menjalani hukuman penjara.

Tahun lalu, defendan turut didenda RM2,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Selangor selepas mengaku bersalah mengajar agama Islam tanpa tauliah di negeri ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN