KUALA LUMPUR – Malaysia memperoleh tambahan kawasan seluas 780 hektar hasil pemuktamadan sempadan darat di kawasan Sempadan Belum Dimuktamadkan (OPB) Sungai Sinapat dan Sungai Sesai di sempadan Sabah-Kalimantan Utara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerja siasatan dan pengukuran bersama Malaysia-Indonesia yang dilaksanakan sehingga Oktober 2023 menetapkan jajaran muktamad sepanjang 11.545 kilometer.
Menurut beliau, baki kawasan seluas 5,987 hektar kekal di bawah pentadbiran Indonesia, sebagaimana yang telah dikuasai negara itu sejak tahun 1915.
“780 hektar itu adalah keluasan tambahan bagi Malaysia, manakala 5,987 hektar kekal milik Indonesia,” katanya pada sesi penerangan khas isu jajaran sempadan Malaysia-Indonesia di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Anwar berkata, kerja-kerja persempadanan bersama antara kedua-dua negara telah bermula sejak 1977 dan berdasarkan peta Perjanjian 1915, muara Sungai Sinapat dan Sungai Sesai pada asalnya ditunjukkan berada di selatan garis latitud 4 darjah 20 minit utara.
Bagaimanapun, hasil pengukuran bersama mendapati muara Sungai Sinapat sebenarnya berada di utara garis latitud tersebut, sekali gus meletakkan keseluruhan lembangan sungai berkenaan dalam wilayah Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, keseluruhan sempadan darat Malaysia-Indonesia dianggarkan sepanjang 2,064 kilometer dan dibahagikan kepada sektor Sabah-Kalimantan Utara serta Sarawak-Kalimantan Barat.
Katanya, melalui Memorandum Persefahaman yang dimuktamadkan pada 18 Februari 2025, tiga perkampungan iaitu Kampung Kabulanggalo, Kampung Lepaga dan Kampung Tetagas disahkan berada dalam wilayah Sabah.
Beliau turut memberi jaminan bahawa semua rundingan sempadan dibuat dengan penglibatan penuh kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sebelum dimuktamadkan di peringkat Persekutuan dan dimeterai bersama Indonesia. – KOSMO! ONLINE














