KUALA TERENGGANU – Seramai 12 penyokong Selangor FC yang membuat kecoh di Jambatan Angkat Kuala Terengganu pada Ahad lalu didakwa atas pertuduhan positif dadah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Salah seorang daripada mereka turut menghadapi dua pertuduhan memiliki dadah jenis ganja dan nimetazipam.
Kesemua tertuduh yang dihadapkan secara berasingan di hadapan dua Majistret iaitu Iffah Nabihah Mohd. Ishak dan Noor Mazrinie Mahmood sekadar mengangguk faham sebaik pertuduhan masing-masing dibacakan.
Tertuduh pertama, Muhammad Amirul Izham Anuwa, 26, menghadapi dua pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis atau ganja seberat 1.12 gram dan nimetazipam seberat 0.37 gram.
Dia turut didakwa memasukkan dadah disyaki jenis tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuala Terengganu pada pukul pukul 3 pagi, 2 Februari lalu.
Sementara itu, mahkamah majistret berlainan, enam lagi tertuduh iaitu Mohamad Shafirul Hisham Hassan, 26, Muhamad Syafiq Junaedi, 27, Ahmad Naqiuddin Ahmad Nordzri, 29, Ahmad Ziyad Zulkifli, 26, dan Muhammad Afiq Haikal Gunawan, 27, didakwa memasukkan dadah jenis THC ke dalam badan mereka.
Seorang lagi tertuduh iaitu Muhammad Asyraf Azli, 25, pula didakwa memasukkan dadah disyaki jenis methamphetamine ke dalam badannya.
Kosmo! semalam melaporkan 33 penyokong Selangor FC yang mahu menonton perlawanan bola sepak antara kelab itu dengan tuan rumah, Terengganu FC ditahan setelah berarak dan membakar suar di Jambatan Angkat Kuala Terengganu pada pukul 6.30 petang, Ahad lalu. – KOSMO! ONLINE














