fbpx
Tangkap layar video memaparkan percampuran lelaki dan wanita semasa konsert penutup Makar Fest XL di pekarangan Mydin Mall, Tunjong dekat Kota Bharu pada Sabtu lalu.

Bercampur lelaki dan wanita, penganjur Makar Fest XL berdepan denda RM30,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Penganjur program Makar Fest XL yang berlangsung di pekarangan Mydin Mall, Tunjong di sini pada Khamis hingga Sabtu lalu berdepan denda maksimum RM30,000 selepas didapati melanggar syarat dan garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah berkata, penganjur melakukan kesalahan di bawah Seksyen 13(1) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025 serta gagal mematuhi syarat lesen serta Garis Panduan Hiburan dan Sukan Negeri Kelantan 2025.

Menurutnya, pemantauan sepanjang festival itu mendapati, semua artis jemputan seperti Sabri Yunus, Wan Hanafi Su, Zack Budak Kaca Mata, Budak Nakal Hujung Simpang, Wargaswara dan artis dikir barat mematuhi enakmen termasuk garis panduan yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, perlanggaran syarat dan garis panduan berlaku semasa persembahan Kugiran Masdo yang berlangsung ketika konsert penutup kira-kira pukul 10.30 malam pada 31 Januari lalu.

“Pihak penguat kuasa berjaya mengeluarkan beberapa orang penonton yang membuat provokasi dan kumpulan penonton yang didapati telah melanggar garis panduan hiburan, namun keadaan tidak berjaya dikawal oleh penganjur apabila ia masih berulang. Penganjur didapati cuai, gagal dan enggan untuk menghentikan persembahan untuk mengawal keadaan.

“Turut dikesan adalah berlakunya percampuran antara pengunjung lelaki dan wanita tanpa ditempatkan petugas keselamatan secukupnya seperti yang disyaratkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hilmi memberitahu, selepas meneliti laporan bertulis daripada Pengarah Bahagian Perlesenan dan Kawalan Perniagaan selain menonton video-video yang diviralkan, maka Pegawai Pelesenan mendapati penganjur melakukan kedua-dua kesalahan tersebut.

Menurutnya, sehubungan itu, wang cagaran penganjur berjumlah RM8,000 telah dirampas dan boleh dikenakan penalti maksimum sehingga RM30,000.

“Selain itu, nama penganjur juga boleh disenaraihitamkan jika gagal membayar kompaun yang dikenakan.

“Kerajaan negeri memahami dan meraikan keperluan rakyat untuk berhibur bahkan amat menyokong sebarang penganjuran program atau festival makanan yang dapat menjana pendapatan kepada peniaga kecil disamping turut mempromosikan Kelantan sebagai lokasi pelancongan.

“Bagaimanapun, kerajaan juga amat konsisten dalam memastikan bahawa adab, budaya atau akhlak khususnya generasi muda mesti dijaga dan dipelihara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN